Monday 12 November 2012

KDN PANTAU PERJUDIAN SIBER DI SABAH





SANDAKAN : Kementerian Dalam Negeri sedang memantau aktiviti perjudian siber di Sabah dan Sarawak, kata Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengambil tindakan tertentu bagi memastikan aktiviti itu tidak berleluasa.

"Saya sudah memberitahu Ketua Polis Negara bahawa perkara itu tidak boleh dibenarkan menjadi-jadi dan Pesuruhjaya Polis Sabah dan Sarawak juga telah dimaklumkan.

"Jangan ingat kewujudan dua hingga tiga pusat perjudian siber yang baharu kita tidak mengetahuinya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Rela Sabah bersama Pemimpin di sini Ahad.

Beliau berkata kementeriannya mempunyai cara untuk berdepan dengan sindiket antarabangsa, terutama dalam konteks dunia tanpa sempadan hari ini.

Katanya, beliau sudah merintis hubungan dua hala dengan agensi risikan termasuk dari Australia, United Kingdom, Amerika Syarikat dan China. (Bernama)

No comments:

Post a Comment