Wednesday 14 November 2012

KENAPA PEMBANGKANG DIHALANG GUNA SEKOLAH?





TENOM: Mantan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Parlimen Tenom 2008, Adris Taripin (kanan sekali) mempertikaikan keputusan kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) kerana membenarkan parti-parti politik pro kerajaan terutamanya UMNO menjadikan sekolah sebagai 'Anak Angkat' parti itu.

Beliau berkata, meskipun parti UMNO adalah sebuah parti tulang belakang kerajaan, namun pada prinsip perjuangannya adalah lebih terarah kepada semua urusan kepartian yang tidak sepatutnya mengheret institusi kerajaan sebagai sebahagian daripada jenteranya.
Agak malang sekali kerana alasan mereka kononnya untuk membantu sekolah sekolah berkenaan untuk terus melahirkan modal insan yang cemerlang, namun pada hakikatnya ia dilihat lebih kepada usaha parti itu untuk mempopularkan pemimpin dan parti mereka kepada rakyat.

“Membantu sekolah daif mahupun membangun minda pelajar supaya ramai pelajar mendapat cemerlang adalah menjadi tugas dan tanggung jawab sesebuah sekolah dan kerajaan khususnya KPM dan bukannya urusan parti.

“Jika parti pro kerajaan dibenarkan berbuat sedemikian, adalah lebih baik semua parti politik dibenarkan juga, tidak kira parti pro kerajaan mahupun pembangkang (kerana) ia dibuat berlandaskan prinsip keadilan untuk semua,” tegas Adris.

Adris berkata, demikian sebagai mengulas tindakan Pergerakan Pemuda UMNO Tenom yang diketuai Jamawi Jaafar baru-baru ini yang memutuskan bahawa beberapa buah sekolah di sini dijadikan 'Anak Angkat' parti itu agar sekolah terbabit dapat melahirkan lebih ramai modal insan cemerlang dalam persekolahannya.

Dalam pada itu, Adris meminta KPM agar memberi penjelasan terhadap amalan seperti itu sama ada atas restu dan arahan kerajaan mahupun di luar peraturan kerajaan; tetapi jika ia dibuat sekadar memberi 'muka' kepada pemimpin berkenaan, sudah pasti ia menjadi amalan salah.

Sekiranya kerajaan terus membenarkan UMNO melakukan aktiviti seperti itu atas sifatnya sebagai sebuah parti politik, maka tidak ada sebab pembangkang dihalang berbuat demikian sedangkan kedua-dua UMNO dan PKR berstatus perjuangan politik dari aras yang sama, tegas Adris.

No comments:

Post a Comment