Wednesday 7 November 2012

KENINGAU, JELAJAH AKHIR APS





Oleh : LESAYA LOPOG SORUDIM

Hampir 1,000 hadir menyaksikan pelancaran Pertubuhan Angkatan Perubahan Sabah (APS) yang diadakan di pekarangan rumah Victor Leonardus, Apin-Apin, Keningau.

Perasmian itu disempurnakan oleh Presiden APS, Datuk Seri Panglima Wilfred Mojilip Bumburing yang turut disaksikan oleh Timbalan Presiden APS, Senator Datuk Maijol Mahap. Turut hadir Naib Presiden PKR, Tian Chua; Ketua DAP Sabah, Jimmy Wong serta semua Ahli Majlis Tertinggi APS.

Pelancaran APS Keningau merupakan siri terakhir dalam program Jelajah Penerangan APS yang diadakan di sembilan kawasan Parlimen negeri Sabah yang majoriti penduduknya terdiri dari masyarakat KDM.

Dalam ucapan perasmian, Datuk Wilfred Bumburing mengumumkan bahawa program Jelajah Penerangan seterusnya akan diadakan di peringkat kawasan yang pada keseluruhannya berupa siri jelajah penerangan kelompok.

Bumburing juga mengumumkan penubuhan APS di kawasan lain seperti di Papar, Sipitan, Lahad Datu dan Pitas.

Seterusnya Bumburing juga menegaskan bahawa matlamat utama APS ialah menggerakkan satu perubahan ke arah memantap dan meningkatkan taraf hidup rakyat negeri Sabah, khususnya di kalangan masyarakat KDM.

Beliau juga menegaskan bahawa APS juga akan bekerjasama serta memberi sokongan penuh kepada mana-mana badan politik yang boleh membawa satu perubahan positif dari segi sosial, politik dan ekonomi dan mengembali serta mempertahankan kedaulatan negeri Sabah sebagai salah sebuah negeri dalam persekutuan Malaysia.

No comments:

Post a Comment