Monday 19 November 2012

KESETIAAN PBS AMAT DIHARGAI






PENAMPANG: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kesetiaan dan keikhlasan Parti Bersatu Sabah (PBS) sebagai anggota komponen Barisan Nasional (BN) amat dihargai terutama dalam membangunkan negara.

Muhyiddin berkata beliau melihat perjuangan PBS, parti pimpinan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan itu, terus relevan dan semakin mendapat sokongan serta kepercayaan rakyat.

Beliau berkata pilihan raya umum ke-13 merupakan penentu kelangsungan perjuangan BN dan jatuh bangun parti bergantung kepada semua ahli.

Oleh itu, beliau berkata semua jentera pilihan raya perlu bersatu padu dan mengelak gejala sabotaj atau elemen yang boleh menjejaskan kemenangan BN pada pilihan raya umum akan datang.

“Isu sensitif hendaklah ditangani dengan bijaksana dan bertolak ansur bagi memelihara perpaduan dan keharmonian,” katanya dalam perutusan sempena Kongres PBS yang akan berlangsung di sini selama tiga hari bermula 20 Nov.

Muhyiddin berkata rakyat kini semakin bosan dengan mainan politik pembangkang, tetapi kecenderungan mereka untuk menyokong BN bergantung kepada sejauh mana jentera BN berjaya menawan hati mereka.

“Justeru marilah kita sama-sama bersatu hati memastikan asas pembinaan negara bangsa yang telah berlaku sejak merdeka dapat dipertahan serta menjunjung prinsip Rukun Negara,” katanya sambil menambah bahawa matlamat negara menuju wawasan 2020 akan tercapai sekiranya perpaduan, kemakmuran dan keharmoniaan negara terpelihara,” katanya.

Beliau berkata kejayaan BN mengemudi negara berbilang kaum dan silang budaya ke arah perpaduan bukanlah mudah.

“Sepanjang 55 tahun memerintah negara, pelbagai dasar kita rancang dan laksanakan sehingga semua kaum dan setiap wilayah mendapat manfaatnya.

“Amalan toleransi, musyawarah dan budaya kompromi merupakan tonggak dan kekuatan BN dalam memenuhi setiap tuntutan parti komponen secara adil dan berperingkat,” katanya.

Beliau berkata langkah bijak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memperkenalkan Gagasan 1Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan dan Transformasi Nasional berjaya memulihkan reputasi negara.

“Gagasan ini bukan slogan politik semata-mata tetapi peniup semangat untuk bertaut di bawah satu payung dengan mengutamakan kesejahteraan negara,” katanya.

No comments:

Post a Comment