Tuesday 20 November 2012

KONDOM PENYELAMAT INDUSTRI GETAH NEGARA





KUALA LUMPUR : Permintaan tinggi untuk kondom dan sarung tangan getah telah membantu Malaysia meningkatkan industri getah meskipun menghadapi persaingan dengan negara lain seperti Thailand dan Vietnam, menurut laporan Bloomberg.

Portal berita kewangan itu melaporkan peningkatan eksport untuk kontrasepi membantu Malaysia meningkatkan pengeluaran getah walaupun Thailand, Indonesia, Vietnam dan India memberikan persaingan.

“Permintaan untuk kondom terus meningkat,” kata Goh Miah Kiat, Pengarah Eksekutif untuk pengeluar kondom terbesar Karex kepada Bloomberg.

Karex yang merancang untuk memasuki bursa saham mahu meningkatkan pengeluaran kepada enam billion kondom setahun.

Lembaga Mempromosi Eksport Getah Malaysia berkata pada Januari lalu Malaysia telah mengeluarkan satu pertiga kondom dari pasaran dunia dan Bloomberg melaporkan Malaysia akan mengeksport 12 juta kilogram kondom yang bernilai RM320 juta tahun ini, berbanding 10.9 juta kilogram bernilai RM277 juta pada tahun 2011.

Bloomberg berkata Malaysia melihat cara untuk meningkatkan nilai dalam industri getah sejajar dengan pentadbiran Najib untuk Program Transformasi Ekonomi yang mahu meningkatkan ekonomi negara kepada berpendapatan tinggi.

Pengeluaran getah asli di Malaysia dijangka akan turun kerana persaingan dengan kelapa sawit, disamping kekurangan pekerja dan pengurangan pengeluaran dan persaingan dengan Vietnam yang akan meningkatkan pengeluaran sebanyak 955,000 tan dan India akan meningkatkan pengeluaran kepada 920,000 tan.

Persatuan Negara-Negara Pengeluar Getah Asli berkata pada November bahawa pengeluaran getah Malaysia mungkin turun kepada 4.6 peratus kepada 950,000 metrik tan tahun ini.

Selain kondom, Malaysia juga adalah pengeluar sarung getah dunia dan mengeluarkan 60 peratus pasaran dunia.

Bloomberg menyatakan untuk membekalkan pengeluar dengan bahan asli untuk berkembang, kerajaan Malaysia telah memberikan geran kepada pemilik ladang kecil untuk menanam semula 40,000 hektar setiap tahun dan menanam 18,000 hektar tanah kawasan baru untuk lima tahun yang akan datang.

Penganalisis ekonomi dari Singapura Lekshmi Nair dari International Rubber Study Group dalam laporannya bagaimanapun dari segi penanaman, banyak pelaburan akan tertumpu ke Lembah Mekong seperti di Kemboja dan Laos sementara pelaburan hiliran akan ke Vietnam dan Indonesia.

“Malaysia perlu bersaing dengan negara ini, ini satu cabaran yang sengit,” kata Lekshmi. Tetapi Goh bersikap optimistik dengan masa depan sektor pengeluaran kondom di Malaysia.

“Bila kita bercakap tentang kondom, ia adalah satu perkataan yang mungkin agak jijik didengar.

“Tetapi hari ini sudah berubah, Asia akan menerima permintaan yang banyak kerana populasi kita yang sangat muda,” kata Goh lagi.

No comments:

Post a Comment