Wednesday 7 November 2012

LAGI CUBAAN SELUDUP TUMPAS





SELUDUP....Deretan tong plastik berisi minyak petrol bersubsidi yang cuba diseludup keluar ke negara jiran.

Oleh :  MOHD NAZIB MACPEE

LAHAD DATU: Selepas kejayaan menumpaskan aktiviti penyeludupan minyak masak bernilai RM98,200 selasa lepas, Pasukan Polis Marin (PPM) Daerah Lahad Datu sekali lagi berjaya mematahkan cubaan menyeludup keluar minyak petrol subsidi dan tong gas memasak sehari selepas itu.

Kali ini, sebanyak 365 tong berisi minyak petrol subsidi atau kira-kira 9,200 liter dan 30 tong gas dengan anggaran nilai RM20,480 (tidak termasuk cukai) berjaya dirampas.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, ACP Abdul Manaf Othman, berkata kejayaan itu hasil serbuan yang dijalankan di kawasan pesisiran Pantai Sinakut Sahabat 16, dekat sini.

Operasi membabitkan tujuh anggota PPM, diketuai Insp Ahmad Puad Osman, dijalankan kira-kira jam 11.30 pagi hasil daripada maklumat awam.

Katanya, dalam operasi itu pihaknya menjumpai 365 tong berisi minyak petrol subsidi yang diletakkan di pesisiran pantai berhampiran dua bot jongkong bersama 30 tong gas.

Dipercayai, kesemua minyak petrol dan tong gas berkenaan cuba diseludup keluar oleh individu tertentu untuk dipasarkan di negara jiran.

“Namun ketika serbuan dilakukan, pihak kita gagal mengesan dan menangkap individu terlibat kerana percaya individu berkenaan telah berjaya menghidu kehadiran pasukan polis lebih awal,” katanya pada sidang media yang disampaikan menerusi Pegawai Pemerintah Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Daerah Lahad Datu, ASP Rusdin Banin.

Abdul Manaf berkata kesemua barangan rampasan kemudian dibawa balik ke pangkalan PPM sebelum kes diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan KPDNKK untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, PPM juga akan meneruskan siasatan bagi mengesan individu terlibat dalam kegiatan penyeludupan itu dan meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai perkara itu agar tampil atau menghubungi bilik gerakan PDRM di talian 089-881255. (UB)

No comments:

Post a Comment