Friday 2 November 2012

LAPAN RUMAH ROSAK AKIBAT RIBUT





MENGGANAS.....Sungai Linsudan, Keningau menganas dan hampir meruntuhkan sebuah rumah.

Oleh : SAIDI BIN EKANG

KENINGAU: Hujan lebat dan angin kencang yang berterusan di daerah ini mengakibatkan lapan rumah rosak di Kg. Kepayan Baru dekat sini dilanda banjir kilat baru-baru ini
.
Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) Sook, Charles Ikang berkata, kejadian yang berlaku kira-kira jam 6.00 petang hingga 11.30 malam itu turut melanda beberapa rumah guru dan bangunan pra sekolah Sekolah Kebangsaan (SK) Kepayan Baru.

Katanya, selain Kg. Kepayan Baru, turut dilanda banjir kilat adalah Kg. Linsudan menyebabkan sebuah rumah di kampung itu ditenggelami air.

“Dalam kejadian banjir kilat itu sistem saliran air ke sawah penduduk Kg. Kepayan dan Baru dan Kg. Rangkai membabitkan lebih kurang petani 50 petani musnah,” kata Charles ketika dihubungi kelmarin.

Tambahnya, daripada lebih kurang 50 petani yang terbabit dengan kerosakan saliran air sawah itu, dua petani yang mengalami kemusnahan teruk padi sawah akibat banjir kita itu di mana kira-kira sepuluh ekar sawah mereka musnah.

Sementara itu seorang guru, Fredoline Majio, 32, berkata rumah guru yang didiami keluarga ditenggelami air semasa beliau dan isterinya tidak berada di rumah dan hanya orang amah mereka sahaja di rumah semasa kejadian.

Katanya, beliau hanya mengetahui kejadian itu apabila dimaklumkan oleh amah mereka melalui telefon.

“Apabila kami sampai di rumah, air sudah menenggelami rumah guru yang kami diami menyebabkan peralatan seperti televisyen, sofa, almari dan sebagainya tidak dapat diselamatkan,” kata Fredoline.

Katanya lagi, dalam kejadian itu beliau mengalami lebih kurang RM3,000 membabitkan peralatan yang tidak dapat diselamatkan.

Seorang lagi guru, Bernard Benedict, 38 yang terlibat dalam kejadian itu berkata, air yang melimpah masuk ke rumahnya hampir sampai ke paras dada, namun mereka sekeluarga sempat keluar untuk menyelamatkan diri.

Bernard yang menganggar kerugiannya lebih kurang RM5,000 mendakwa, air naik dengan begitu cepat kerana beberapa pembetung parit sekolah berkenaan tersumbat.

Selepas kejadian itu, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Ellron Alfred Angin telah melawat rumah penduduk, sekolah dan sistem saliran air sawah yang terjejas akibat banjir kilat itu.

Ellron yang juga Ahli Dewan Undangan (Adun) Sook berkata, pihaknya akan memberi bantuan kepada keluarga yang terbabit dalam kejadian bencana alam yang tidak diduga itu.

No comments:

Post a Comment