Tuesday 6 November 2012

MALAYSIA SAMBUT BAIK PENGUMUMAN AUSTRALIA





BERSALAMAN ... Anifah (kiri) bersalaman dengan Senator Carr selepas Sidang Media bersama kelmarin.

KOTA KINABALU: Pengumuman mengenai Program Pertukaran Muslim Muda Australia-Malaysia oleh Menteri Luar Australia Bob Carr, di sini melakar satu lagi babak bersejarah dalam hubungan dua hala antara kedua-dua negara, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Beliau berkata Malaysia amat mengalu-alukan cadangan Australia untuk melancarkan Program Pertukaran Muslim Muda Australia-Malaysia bertujuan menggalakkan pemahaman budaya yang lebih baik.

“Program pertukaran ini adalah satu lagi contoh jelas mengenai bagaimana kerjasama yang semakin akrab ini membawa kepada usaha bersepadu yang membolehkan kita melakukan perubahan demi manfaat penduduk kita.

“Malaysia menjadi lebih bersemangat berikutan inisiatif Australia untuk merapatkan jurang dan menggalakkan persefahaman antara agama dan komuniti menerusi dialog antara-agama dan antara-budaya,” katanya pada sidang akhbar bersama sempena lawatan rasmi Menteri Luar Australia itu ke Malaysia, di sini kelmarin.

Anifah berkata Malaysia bersetuju bahawa selain mewujudkan pemahaman mengenai agama dan budaya yang lebih baik, program pertukaran itu semestinyalah meningkatkan hubungan sesama penduduk antara Malaysia dan Australia.

Beliau berkata kerajaan turut menghargai pengiktirafan Australia terhadap peranan Malaysia sebagai perantara dalam perjanjian perdamaian antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), yang membawa kepada pemeteraian Perjanjian Rangka Kerja baru-baru ini.

Dalam hubungan ini, Anifah menggesa Australia supaya membantu dalam pembangunan ekonomi selatan Filipina, sekali gus memberi harapan baru kepada Bangsamoro.

Mengenai perdagangan dan pelaburan, Anifah berkata kedua-dua pihak berkongsi pandangan bahawa terdapat masih banyak potensi untuk memperluaskan kuantum perdagangan serta pelaburan antara Malaysia dan Australia.

Beliau berkata Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia- Australia (MAFTA) yang berkuat kuasa 1 Jan tahun depan, akan menggalakkan pergerakan eksport dan perkhidmatan selain melonjakkan aliran pelaburan, sambil meningkatkan komitmen yang dimeterai dalam Perjanjian Perdagangan Bebas Asean-Australia-New Zealand.

Anifah berkata kerjasama dalam pendidikan terus menjadi unsur penting dalam hubungan dua hala kedua-dua negara.

Pada masa ini terdapat lebih 20,000 pelajar Malaysia yang melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi di Australia.

“Dalam mesyuarat dua hala hari ini, Senator Carr dan saya turut membincangkan mengenai beberapa perkara serantau dan antarabangsa melibatkan kepentingan dua hala iaitu Hubungan Dialog Australia-Asean dan Sidang Kemuncak Asia Timur di samping peranan Australia sebagai anggota bukan tetap yang baru dilantik ke Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) bagi penggal 2013-2014.

“Saya gembira untuk menyatakan bahawa Australia turut menyatakan sokongan kepada pencalonan Malaysia dalam pemilihan anggota bukan tetap ke UNSC bagi penggal 2015-2016,” katanya. (NST)

No comments:

Post a Comment