Friday 2 November 2012

MANTAN KETUA DAERAH NAFI BERSEKONGKOL





NAFI.....Hj Ahdah (kanan) menafikan bersekongkol dalam kes penyelewengan tanah Sungai Koyah A, Kinabatangan.

Oleh: SHAIMON S JUMADI           Foto : RAMLIN JINULA

MANTAN Ketua Daerah Kinabatangan, Haji Ahdah Hj Sulaiman membidas sekeras-kerasnya tuduhan liar dan tidak berasas sama sekali yang mengaitkan namanya terlibat dalam komplot  penyelewengan  tanah di Sungai Koyah A Fasa I, II dan III yang telah menimbulkan kontroversi di kalangan pemiliknya.

Hj Ahdah yang memegang jawatan tersebut bermula sejak tahun 1994 dan menamatkan jawatannya pada tahun 2007, menafikan tuduhan liar yang dilemparkan  oleh Jamal @ Jamaludin Sinyor yang mendakwa  kononnya beliau terlibat dengan kes penyelewengan tanah di Koyah A.

"Saya tidak terlibat langsung  mengenai penjualan dan pembatalan tanah tersebut  dan apa kuasa saya sebagai Ketua Daerah Kinabatangan pada masa itu untuk berbuat  demikian?” tegasnya.

Kata Hj Ahdah, kenapa Jamal mahu menyalahkan orang lain dan kenapa semasa mereka menerima wang tunai sebanyak RM1,500  mereka tidak mahu meneliti  dan membaca  terlebih  dahulu isi kandungan dokumen yang mereka tandatangani sama ada Surat Perjanjian atau pun Surat Kuasa (Power Attorney) yang diwaadkan kepada Bagus Maju Sdn Bhd.

Dalam hal  ini,  kata Hj Ahdah, Jamal tidak wajar menamakan atau membabitkan mantan ADUN Sukau, Datuk Zaki Gusmiah dan beliau sendiri.

"Kenapa mereka tidak mengeluarkan saman terus kepada Jabatan Tanah dan Ukur termasuk kerajaan negeri  yang bersekongkol dengan Bagus Maju Sdn Bhd kerana Jabatan Tanah dan Ukur dan Kerajaan negeri terlibat secara langsung mengeluarkan geran hak milik tanah tersebut kepada syarikat terbabit dan membelakangkan para pemilik asal tanah tersebut," ujar Hj Ahdah.

Kegagalan Kerajaan Negeri dan Jabatan Tanah dan Ukur mempamerkan nama-nama 400 pemilik asal tanah tersebut yang telah tersenarai sebagai Pekebun Kecil, kata Haji Ahdah,  wajar dambil tindakan undang-undang  kerana mereka mempunyai kuasa mutlak dalam hal ehwal urusan tanah di Sungai Koyah A, B dan C dalam fasa I,II dan III  yang dianggap satu penipuan atau sabotaj.

Hj Ahdah berkata demikian dalam satu wawancara eksklusif dengan Sabahkini.Net kelmarin sebagai mengulas kenyataan media Jamaludin Sinyor seperti yang tersiar di Portal Online  Sabahkini.Net bertajuk 'Kes Koyah  Kayu Bakar Buat BN' pada 30 Oktober lalu.

“Begini sahajalah. Dipendekkan cerita, saya syorkan Jamal meletakan jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa JKKK Kg Sukau dan sekaligus meletakan jawatan sebagai ahli UMNO Kinabatangan dan selanjutnya menyertai PKR (Pakatan Rakyat) jika benar-benar mahu membela nasib rakyat seramai 400 orang yang menjadi mangsa penipuan, seperti yang didakwa oleh Tetuan Aisah Ahmad & Co. Ini sahaja jalan yang terbaik,” tegasnya.

Katanya lagi, jika Jamal masih menyokong parti yang memerintah dan dalam masa yang sama mengecam pemimpin kerajaan BN/UMNO, maka Jamal disifatkan sebagai melanggar tata etika sebagai Pengerusi JKKK dan melanggar disiplin dan prinsip UMNO dan boleh dipecat.

"Semasa saya masih Ketua Daerah Kinabatangan, saya pernah memberi nasihat kepada mereka mengenai kes tanah di Sungai Koyah A, supaya melantik peguam sendiri atau melantik penasihat undang-undang untuk membantu menyelesaikan penyelewengan ini; tetapi mereka enggan  mendengar sedikitpun nasihat dan pandangan saya. Kalau dari dulu lagi mereka lantik peguam, sudah pastinya isu ini tidak akan berlaku,” ujarnya.

Tambahnya lagi, bukan mudah untuk menyelesaikan kes pertikaian tanah Koyah A  kerana membabitkan beberapa pihak, termasuk beberapa pemimpin dan jabatan kerajaan; malah 'Limitation Act'.

No comments:

Post a Comment