Friday 23 November 2012

MENTERI LUAR KUTUK ISRAEL DI MESYUARAT D8





ISLAMABAD : Pencerobohan Israel di Gaza turut disentuh dalam Mesyuarat Menteri-menteri Luar Persidangan D-8 di sini Rabu, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Beliau berkata, dalam mesyuarat yang bermula kira-kira jam 11 pagi waktu tempatan, beberapa negara telah membangkitkan krisis di Gaza dan Malaysia bakal menyuarakan pendapatnya bila mesyuarat bersambung pada sebelah petang.

"D-8 adalah organisasi yang membincangkan hal-hal berkaitan ekonomi negara-negara anggota. Namun, disebabkan keadaan yang memaksa, maka terdapat kemungkinan kita akan bincangkan isu tersebut (Gaza)," katanya kepada wartawan Malaysia di sini, kelmarin.

Negara anggota D-8 terdiri daripada Mesir, Iran, Pakistan, Turki, Malaysia, Indonesia, Nigeria dan Bangladesh.

Anifah berkata beberapa negara anggota lain, di dalam ucapan mereka, telah membangkitkan kesedihan terhadap apa yang berlaku di Gaza.

"Malaysia akan bangkitkan isu ini nanti dan kita tadi telahpun bersetuju secara tidak formal untuk berbincang mengenai isu ini," katanya.

Pada sidang kali ini, Pakistan akan mengambil-alih jawatan pengerusi D-8 dari Nigeria untuk tempoh dua tahun hingga 2014.

Persidangan kali ini menerima usul Piagam D-8 dan Visi Global D-8 - dua dokumen penting yang akan menjadi aspirasi dan wawasan masa depan organisasi itu.

Dalam ucapannya, Anifah sekali lagi melahirkan isu perdagangan intra D-8 yang masih belum mencapai sasaran ditetapkan antara 15-20 peratus.

"Jumlah perdagangan intra D-8 sehingga kini adalah sebanyak 7.5 peratus. Kita harus melihat kembali kelemahan-kelemahan yang wujud dalam usaha untuk menjadikan D-8 sebagai sebuah organisasi yang kompetitif.

"Kita harus berusaha untuk meningkatkan pelaburan dan perdagangan dan kita harus menjadi lebih kreatif di mana perbankan Islam merupakan salah satu daripada aktiviti yang harus kita utarakan pada persidangan ini," katanya.

Beliau berkata negara-negara anggota harus menggunapakai kemudahan perbankan Islam bagi tujuan mendapat dana pelaburan, melalui penerbitan sukuk, selain daripada sistem perbankan konvensional. (Bernama)

No comments:

Post a Comment