Saturday 17 November 2012

NAJIB KE SIDANG KEMUNCAK ASEAN DI KEMBOJA





KUALA LUMPUR : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Asean ke-21 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan di Phnom Penh, Kemboja selama dua hari bermula Ahad ini.

Kementerian Luar dalam kenyataan Sabtu berkata Perdana Menteri akan diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, para pegawai kanan kerajaan serta agensi yang berkaitan.

Menurut kenyataan itu, selaras dengan tema sidang kemuncak kali ini iaitu "Satu Komuniti, Satu Tujuan", adalah penting bagi ASEAN untuk melaksanakan inisiatif-inisiatif yang telah dipersetujui berdasarkan Piagam ASEAN dan Pelan Halatuju Komuniti ASEAN.

Pelaksanaan itu akan mempercepatkan penubuhan Komuniti ASEAN yang terdiri daripada Komuniti Politik dan Keselamatan, Komuniti Ekonomi dan Komuniti Sosio-Budaya.

Pada sidang kemuncak itu, Ketua-Ketua Negara Asean akan menerima pakai beberapa dokumen penting iaitu Kenyataan Bersama Pemimpin ASEAN untuk penubuhan ASEAN Regional Mine Action Center (ARMAC), Deklarasi Bersama Pelancaran Rundingan Perkongsian Komprehensif Serantau (RCEP) serta Prinsip Panduan dan Objektif untuk Perundingan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau.

Sidang kemuncak itu juga akan menerima pakai Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN, iaitu satu dokumen penting yang mencerminkan aspirasi dan komitmen ASEAN untuk perlindungan hak asasi manusia serta pelancaran ASEAN Institute for Peace and Reconciliation (AIPR).

Menurut kenyataan itu, Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan yang bakal dihadiri Perdana Menteri meliputi Sidang Kemuncak dengan rakan-rakan dialog ASEAN seperti China, Jepun, Republik Korea, India dan Amerika Syarikat, Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN Campur Tiga serta Sidang Kemuncak Asia Timur Ke-7.

Semasa Sidang-Sidang Kemuncak itu, para memimpin akan menerima pakai Laporan Wawasan Asia Timur Kumpulan II (EAVG II), Deklarasi Sidang Kemuncak Asia Timur Ke-7 mengenai Malaria dan Laporan Tokoh Terkemuka ASEAN-India.

Perdana Menteri juga akan menghadiri Dialog Global ASEAN yang melibatkan semua pemimpin ASEAN dengan ketua-ketua Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Pembangunan Asia (ADB) dan Persidangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD).

Najib juga dijadual akan mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan-rakan sejawatan beliau semasa Sidang Kemuncak tersebut. (Bernama)

No comments:

Post a Comment