Saturday 17 November 2012

NAJIB UMUM 11 PROJEK ETP





PUTRAJAYA : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kelmarin mengumumkan 11 projek di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) serta sembilan projek di bawah tiga Koridor Ekonomi dengan nilai pelaburan berjumlah RM26.09 bilion.

Tiga koridor itu ialah Koridor Pembangunan Sabah, Wilayah Ekonomi Koridor Utara dan Iskandar Malaysia.

Bagi 11 projek ETP berkenaan, tujuh merupakan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) iaitu minyak, gas dan tenaga, Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang, kandungan komunikasi dan infrastruktur, perkhidmatan perniagaan, penjagaan kesihatan, pelancongan dan pendidikan.

Perdana Menetri Berkata 20 projek akan menyumbang RM10.08 bilion kepada Pendapatan Negara Kasar (PNK) pada 2020 dan mewujudkan 64,282 pekerjaan.

Semasa mengumumkan perkembangan terkini ETP yang terakhir bagi tahun ini, Najib berkata meskipun ketidaktentuan global yang berterusan, Malaysia kekal sebagai destinasi menarik untuk pelaburan dan pertumbuhan negara kekal kukuh.

Dalam Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Minyak, Gas dan Tenaga, Najib berkata Seaport Worldwide Sdn Bhd akan melabur lebih RM1 bilion dalam membangunkan fasa satu projek Petrokimia dan Maritim Tanjung Bin.

Meliputi kawasan seluas 2,255 ekar, kawasan itu diwarta sebagai Zon Perdagangan Bebas dengan tempoh pajakan 99 tahun, kata beliau.

"Ia akan melengkapkan projek-projek lain di Johor, yang akan memacu wawasan Malaysia untuk menjadi hab perdagangan dan penyimpanan petroleum Asia Pasifik," kata beliau.

Dalam NKEA Greater Kuala Lumpur, Nusa Gapurna Development Sdn Bhd akan melabur RM5.23 bilion dalam projek besar untuk menjana dan mencergaskan semula bandar lama Petaling Jaya.

"Pembangunan bandar PJ Sentral Garden yang akan meliputi kawasan seluas kira-kira 40 ekar bersedia untuk menjadi kawasan perniagaan hijau yang baharu di Selangor, menyokong Kuala Lumpur dan hab perniagana lain di sekitar bandar raya dan negeri," kata beliau. (Bernama)

No comments:

Post a Comment