Wednesday 7 November 2012

NAZRI 'DISERANG' KERANA JADI ‘ASET’ BN





Oleh : IDA LIM

KUALA LUMPUR : Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz hari ini menyifatkan serangan-serangan pembangkang terhadapnya berhubung isu pembalak Michael Chia disebabkan dirinya merupakan 'aset'.

“Tidakkah kamu fikir kerana saya merupakan aset, jadi mereka menyerang saya?” kata Nazri.

“Saya semestinya sangat penting, jika tidak mengapa mereka menyerang saya?” kata menteri yang bertanggungjawab terhadap portfolio undang-undang itu.

Sabtu lalu, akhbar Utusan Malaysia dilaporkan memetik kenyataan Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Azwanddin Hamzah berkata, Nazri berkemungkinan menjadi liabiliti politik kepada  Barisan Nasional (BN) berhubung dakwaan beliau mempunyai kaitan dengan Chia.

“Kita tak tahu sama ada saya akan menjadi liabiliti atau tidak selagi kita belum lagi bertanding di pilihan raya ...,” kata Nazri yang turut mencabar Azwanddin untuk bertanding di kerusi Parlimen Padang Rengas yang merupakan kerusi diwakilinya sekarang.

Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli, mendakwa Chia memberikan kereta mewah Hummer bernilai RM500,000 kepada anak Nazri.

Namun Nazri menyatakan tiada konflik kepentingan antara anaknya yang menggunakan kereta Chia itu kerana bukan beliau yang membersihkan lelaki itu daripada tuduhan rasuah.

Chia baru-baru ini dikaitkan dengan dakwaan rasuah melibatkan Ketua Menteri Sabah Datuk Musa Aman selepas pihak pencegahan rasuah Hong Kong dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati RM40 juta yang didakwa di bawa masuk ke Malaysia adalah 'derma politik' kepada Umno Sabah, dan bukan untuk kegunaan peribadi Musa.

Nazri turut menegaskan, beliau tidak perlu melayan sebarang kenyataan Azwanddin berhubung kedudukannya dalam politik bersama Umno dan Barisan Nasional (BN).

“Siapa dia? Saya tak perlu jawab kepada ahli politik jalanan. Saya akan lebih bimbang sekiranya Presiden atau Timbalan Presiden atau Setiausaha Agung Umno yang membuat komen berkenaan.

“Sebelum ini beliau anggota PKR? Kemudian dia keluar ... jadi dia adalah ‘katak’. Jadi saya anggap kenyataannya sebagai tidak relevan,” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment