Saturday 24 November 2012

PEMERIKSAAN PUSPAKOM DI DEWAN SRI ANTANOM





Oleh: MAIL MATHEW

TENOM: Ketua Liberal Demokratik Parti (LDP) Bahagian Tenom, Kapitan Ng Tet Hau meminta para pemilik kenderaan agar bersabar dalam sedikit masa lagi kerana cadangannya agar PUSPAKOM menjalankan pemeriksaan kenderaan di perkarangan Dewan Sri Antanom belum mendapat kelulusan mutlak daripada pihak berkuas tempatan (PBT) di sini.

Beliau berkata, sungguhpun sebelum ini beliau mendapat persetujuan secara lisan daripada Pegawai Eksekutifnya, Wolfred Gentiu namun adalah lebik jika kelulusan 'hitam putih' dikeluarkannya untuk membenarkan kawasan itu digunakan sebagai tapak pemeriksaan PUSPAKOM secara berkala.

“Saya percaya PBT di sini tiada masalah untuk membenarkan tujuan itu tetapi kita perlu surat hitam putih sebagai jaminan mereka kepada kita,” kata beliau sebagai mengulas beberapa pertanyaan para pengguna khususnya pemilik kenderaan berlesen berhubung bilakah pemeriksaan PUSPAKOM diadakan di perkarangan Dewan Sri Antanom sepertimana dirancangkan.

Setakat ini, pemeriksaan PUSPAKOM telah diadakan di Pusat Kebudayaan Murut di Pulong dalam tempoh sebulan sekali namun atas cadangan terbaru pusat pemeriksaan PUSPAKOM untuk Tenom dan Kemabong dicadangkan di perkarangan Dewan Sri Antanom dalam masa dua kali sebulan.

Kapitan Ng Tet Hau yang juga merupakan seorang Ahli Majlis Tertinggi LDP Pusat berkata demikian sebagai menjawab beberapa pertanyaan para pemilik kenderaan ekoran kelewatan pelaksanaan pemeriksaan PUSPAKOM di tapak baru sepertimana yang dicadangkannya sebelum ini.

Ng berkata, beliau memilih dan mencadang tapak baru untuk pemeriksaan itu di perkarangan Dewan adalah kerana di kawasan tersebut sesuai dan selesa kepada para pemilik kenderaan untuk beristirehat sambil menunggu giliran kenderaan mereka itu selesai diperiksa.

“Kita pilih sesuatu kawasan yang lebih kondusif kepada penyelesaian urusan tersebut supaya dua pihak sama ada pemilik kenderaan mahupun kakitangan PUSPAKOM boleh menjalankan urusan mereka dengan licin dan teratur,” tegas Kapitan Ng.

Dalam pada itu, Pegawai Eksekutif Wolfred Gentiu ketika dihubungi untuk mendapatkan ulasan, namun gagal dihubungi kerana difahamkan pegawai itu berada di luar kawasan menjalankan tugas rasmi.

No comments:

Post a Comment