Thursday 1 November 2012

PENERIMA DANA SOROS PENDERHAKA!





Oleh : MD IZWAN

KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen (MP) mendakwa penerimaan dana atau sebarang kaitan dengan penyumbang dana daripada Open Society yang dimiliki George Soros adalah satu bentuk penderhakaan kepada Malaysia walaupun Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Najib Razak sendiri pernah bertemu spekulator itu.

"Penerimaan dana daripada Soros ini akan timbulkan persepsi kepada masyarakat serta merupakan satu bentuk ancaman kepada demokrasi berparlimen dan raja. Ini adalah satu penderhakaan!" kata MP Jasin, Datuk Wira Hj Ahmad Bin Hamzah semasa sidang Dewan Rakyat, kelmarin.

Perbahasan melibatkan badan bukan kerajaan (NGO), SUARAM dibangkitkan oleh MP Pasir Emas Datuk Ibrahim Ali yang mendakwa Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) gagal menjalankan tanggungjawab dalam memantau NGO tersebut.

Susulan pendedahan tersebut, ia telah menimbulkan satu polemik baru melibatkan NGO di Malaysia walaupun Najib dalam laporan media awal bulan lalu turut mengakui bertemu spekulator mata wang asing, Soros tetapi tetapi atas dasar memenuhi permintaan yang dibuat oleh  spekulator mata wang tersebut.

Najib juga berkata pertemuan tersebut tidak menjadi suatu kesalahan malahan berkata mantan PM, Tun Dr Mahathir Mohamad turut pernah melakukan perkara sama bertemu Soros.

“Ya, saya ada berjumpa dengan Soros. Ia hanya sekadar memenuhi permintaan beliau dan adalah satu kunjungan hormat yang biasa.

“Lagipun dia (Soros) yang meminta untuk berjumpa dengan saya,” kata Najib.

Selain itu, MP Umno tersebut juga menuduh Open Society sebagai pihak yang bertanggungjawab dalam menjatuhkan negara-negara di Timur Tengah yang dikenali sebagai "Kebangkitan Arab" (Arab Spring).

"Seperti yang dilakukan oleh mereka di negara Arab, Open Society ini juga mampu lakukannya di Malaysia. Ia akan timbulkan kebencian di kalangan rakyat kepada pemerintah dan kemudiaannya berlakulah penggulingan kerajaan," tambah beliau.

Suaram menjadi sasaran serangan kerajaan Barisan Nasional (BN) selepas memfailkan kes ke atas firma gergasi pembuat kapal perang Perancis, DCNS dengan  mendakwa firma pertahanan itu membayar RM540 juta sebagai komisyen kepada syarikat Perimekar dalam perjanjian yang dimeterai pada 2002 itu.

Tindakan membayar komisen tersebut dianggap satu jenayah mengikut undang-undang Perancis.

Ekoran serangan tanpa henti ini, Suaram, dalam kenyataan pada 5 September, menggesa kerajaan menerusi agensi-agensinya menghentikan tindakan diskriminasi dan keterlaluan ini, serta berkata ia merupakan satu lagi langkah terdesak kerajaan untuk memaksa Suaram menghentikan kes mahkamah di Perancis melibatkan kapal selam Scorpene.

Suaram sebelum ini mengakui menerima dana dari beberapa negara luar termasuk Amerika Syarikat (AS) dan Finland, namun penasihat Suaram, Dr Kua Kia Soong mempertahankan pendiriannya melibatkan pembiayaan dana daripada negara asing serta berkata ia bukan suatu kesalahan disisi undang-undang.

No comments:

Post a Comment