Tuesday 20 November 2012

PENGALAMAN WARGA EMAS PERLU DIWARISI





KETIBAAN... Azizah tiba ke majlis Sambutan Hari Warga Emas Sedunia Peringkat Negeri Sabah anjuran Majlis Persatuan Warga Tua Sabah di Dewan Pa' Musa Beaufort, disambut meriah.

Oleh : ABU BAKAR ESAH

BEAUFORT:Golongan warga emas di negeri ini disaran terus bergiat aktif dalam pelbagai aktiviti ke arah membantu menyumbang kepada pembangunan negara, negeri dan masyarakat.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Azizah Mohd Dun berkata, antaranya melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakat dimana golongan ini boleh menyumbang idea yang bernas berdasarkan pengalaman yang dilalui kepada masyarakat di sekeliling khususnya generasi muda.

“Pengalaman dan pengetahuan yang dimiliki warga emas perlu diwarisi dan nilai murni serta semangat patriotisme 'orang lama' perlu disemai agar menjadi garis panduan golongan muda masa kini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Warga Emas Sedunia Peringkat Negeri Sabah anjuran Majlis Persatuan Warga Tua Sabah di Dewan Pa' Musa Beaufort, di sini baru-baru ini.

Azizah yang juga Pengerusi Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS) turut menggesa warga emas agar sentiasa bersikap terbuka, senang didekati dan bersedia bertukar idea dengan golongan muda agar percambahan ilmu dapat berjalan dengan lancar dan berkesan.

Jelasnya, kerajaan juga tidak pernah meminggirkan golongan ini dengan menyalurkan pelbagai kemudahan dan insentif seperti menikmati pengecualian caj pendaftaran pesakit luar di semua klinik kerajaan serta diberi Skim Bantuan Orang Tua (SBOT) bernilai RM300 seorang.

Katanya, sehingga kini seramai 38,141 orang warga emas di negeri ini menerima SBOT dengan peruntukan RM11.4juta sebulan.

Dalam majlis itu, Datuk Azizah turut meluluskan peruntukan tambahan RM10,000.00 bagi membiayai kos penganjuran majlis yang dihadiri lebih 300 warga emas seluruh negeri itu.

Pelbagai acara diadakan sempena majlis itu antaranya pertandingan tarian, pertandingan karaoke, catur, kaligrafi dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment