Tuesday 13 November 2012

PENJAWAT AWAM PERLU KREATIF





Oleh : MOHD FARHAN DARWIS

PUTRAJAYA : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini menggesa penjawat awam untuk berfikir secara kreatif dan proaktif bagi menampilkan imej yang membolehkan mereka dipandang tinggi oleh rakyat negara ini.

Najib ketika Majlis Pelancaran Pusat Panggilan 1 Malaysia (1MOCC) di sini menegaskan, penjawat awam selain menjadi kreatif, mereka juga perlu bersifat unggul dan hebat untuk mengubah persepsi masyarakat terhadap 1.4 juta penjawat awam di seluruh negara.

“Kalau kita tiada penambahbaikan, rakyat yang semakin berkualiti dan mempunyai jangkaan yang semakin meningkat ... kita akan ketinggalan di peringkat global. Kalau hendak kerajaan memandang tinggi kepada kerajaan, secara kolektif ... kita perlu sediakan perkhidmatan yang semakin baik dan berkesan,” katanya.

Menurut Najib lagi, melalui pelaksanaan 1MOCC itu juga, akan meletakkan perkhidmatan awam sebagai suatu yang dibanggakan oleh rakyat.

“Melalui pemikiran seperti ini, kita telah berjaya mencapai kejayaan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa,” katanya lagi.

1MOCC merupakan satu kaedah pemusatan panggilan jabatan kerajaan yang boleh dihubungi di talian 03 8000 8000 yang akan memberikan maklumat dan bantuan kepada rakyat untuk mendapatkan segala maklumat berkaitan dengan agensi kerajaan terlibat.

Di bawah pendekatan Strategi Lautan Biru, 1MOCC telah diterajui oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), TM, dan Perbadanan Putrajaya dengan Pusat Panggilan 1MOCC telah diwujudkan di Pejabat Perbadanan Putrajaya di sini.

Antara 21 agensi kerajaan yang terlibat dalam pemusatan pusat panggilan itu adalah agensi di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Dalam Negeri, dan Kementerian Pengangkutan, yang bertindak sebagai pilot agencies yang bakal menjadi perantara dan jambatan kukuh untuk menghubungkan rakyat dan kerajaan.

Antara perkhidmatan yang diberikan 1MOCC adalah direktori pegawai termasuk nombor telefon agensi kerajaan, alamat agensi, soalan-soalan lazim, produk dan perkhidmatan 1 Malaysia, peta dan lokasi di Malaysia, serta tempat-tempat menarik di Malaysia, termasuk alamat agensi penguatkuasaan dan perkhidmatan hospital.

Antara yang bakal menerima manfaat daripada 1MOCC ini adalah kumpulan rakyat Malaysia, pelancong, pelabur, dan juga penjawat awam itu sendiri.

Selain nombor telefon, perkhidmatan 1MOCC juga turut melibatkan penggunaan laman sosial seperti laman Facebook dan Twitter, laman web, e-mel dan faks 03-80008001.

No comments:

Post a Comment