Thursday 1 November 2012

PENULIS KONTROVERSI TEGUR SOP RCI





Oleh : JAYANTHI GEETHA SUKUMARAN

PENULIS Kontroversi, Mutalib M.D menegur Standard Operation Prosedur (SOP) Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) yang tidak mesra saksi apabila telah mengarahkan seorang Pegawai Polis Cawangan Khas dari Sabah, Inspektor Razali Abdul Habi dan rakannya (tidak dikenali) datang ke penginapan beliau di Kuala Lumpur sekitar jam 11.55 pagi kelmarin untuk memberi keterangan berhubung RCI di Balai Polis berdekatan.

"Setahu saya, Polis tidak terlibat dengan RCI dan agak ganjil jemputan ke Balai Polis untuk memberi keterangan secara berseorangan; sedangkan ketika memberi keterangan di hadapan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Integriti pada 2006 di Parlimen Malaysia, hampir semua jawatankuasa hadir termasuk Lim Kit Siang dan Tan Sri Bernard Giluk Dompok," kata Mutalib yang kurang senang dengan 'jemputan tidak beradat' berkenaan oleh seorang pegawai polis berpangkat rendah.

Memandangkan RCI ditubuh di bawah perkenan DYMM Yang Di Pertuan Agong, maka sewajarnya Panel RCI menghantar notis rasmi seperti yang beliau terima daripada Jawatankuasa Kahs Parlimen pada 2006.

"Saya sedia beri kerjasama kerana ini masalah negara. Janganlah meremehkan prosedur dan gunalah budibicara. Saya tahu polis ada kuasa siasat sesiapa sahaja. tapi ini masalah RCI. Mereka tahu di mana saya tinggal dan saya rasa Ketua Cawangan Khas Sabah tahu bagaimana cara untuk menghubung saya. Tetapi oleh kerana polis tidak terlibat, maka beliau tidak menghubungi saya," kata Mutalib dengan nada kesal kerana Panel RCI menyalahguna kuasa polis.

Kata Mutalib setelah beliau mendapatkan pengesahan daripada Ketua Cawangan Khas Sabah dan Ketua Cawangan Khas Kuala Lumpur, barulah DSP Ahmadi menghubungi beliau memaklumkan bahawa beliau mengarahkan Inspektor Razali  mencari saya untuk mendapatkan alamat dan nombor telefon.

"Jika ini cara mereka mendapatkan saksi, saya fikir tidak ada yang mahu berikan kerjasama. Sekarang sudah zaman IT, semua maklumat berada di hujung jari dan saya pengendali laman web Sabahkini.net. Mereka boleh mendapatkan maklumat peribadi saya daripada Jabatan Pendaftaran Negara atau hanya menghubungi Ketua Cawangan Khas Sabah," kata Mutalib yang belum bersedia memberi keterangan kerana beliau sibuk menyiapkan buku baru yang bakal terbit menjelang PRU-13.

Sehubungan itu, Mutalib menggesa agar Pengerusi Panel RCI Sabah, Tan Sri Amar Steve Shim Lip Kiong memantau siasatan yang dibuat oleh jawatankuasa khas dan kecil yang dilantik agar tidak menimbulkan suasana tegang dan berjalan dalam keadaan harmoni.

"Buat sementara waktu mereka tidak perlu mencari saya jika mereka belum membaca kesemua buku dan artikel yang saya tulis dalam Sabahkini.net," kata Mutalib yang mencadangkan agar Panel RCI membaca buku IC Palsu Merampas Hak Anak Sabah; Pengundi Untuk DiSewa; IC PROJEK Agenda Tersembunyi Mahathir? dan 007-Lelaki Malaysia Terakhir.

Menurut Mutalib, beliau tidak bermaksud mengajar Panel RCI menjalankan kerja mereka, tetapi mereka harus mengerti cara yang paling mudah menyelesaikan masalah Pendatang Asing dan Kerakyatan Songsang di Sabah yang berlaku sejak tiga dekad lalu dalam masa enam bulan ialah dengan membaca kesemua bukunya dan artikel yang beliau siarkan dalam www.sabahkini.net

"Segala rahsia ada dalam kesemua buku saya. Kesmeua buku ini tidak pernah dicabar dan ada yang diterima sebagai bahan bukti di mahkamah. Jika tidak faham barulah tanya saya. Saya bukan bekerja dengan RCI dan saya tidak punya banyak masa melayan RCI. Siasatan saya selama hampir 15 tahun dan bukti yang saya kemukakan berdasarkan sumber yang sahih dan bukan direka cipta," kata Mutalib yang membuat keputusan hanya akan memberi keterangan di hadapan panel dan bukannya di hadapan perseorangan; itupun setelah mendapat jemputan rasmi daripada RCI.

No comments:

Post a Comment