Wednesday 21 November 2012

PLD PERLU MANTAPKAN PENDIDIKAN ISLAM





ANUGERAH .....Dato' Seri Nasir (tiga kiri) diringi Datuk Suhaili (dua kanan); Mohd.Noor (tiga kanan); Ahmad Zaki (dua kiri) dan Abdul Roni (kiri) menyampaikan Anugerah Menteri JKM Sabah kepada A. Kadri Kamal (kanan) sempena majis Konvokesyen PLD Kudat Ke-16 Sesi 2012

Oleh : ARSHAD HUSSIN
             
KUDAT: Menteri Di Jabatan Ketua Menteri,Dato Sri Haji Nasir Tun (Dr.) Sakaran,menyarankan Pusat Latihan Dakwah (PLD) memberikan penekanan dan meningkatkan aspek kurikulum dari semasa ke semasa agar ianya selari dengan perkembangan semasa.

Katanya, dengan adanya Lembaga Penasihat Pusat Latihan dan Akademik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Cawangan Sabah, perkara itu akan dapat mengusahakan dan mampu memantapkan lagi perancangan serta  hala tuju institusi pendidikan Islam di negeri ini.

Nasir berkata, Kerajaan negeri melalui agensi-agensi agama seperti MUIS, JHEAINS dan sebagainya akan sentiasa memberi kerjasama menjayakan usaha murni itu.

Beliau berkata demikian sempena majlis Konvokesyen Ke-16 Pusat Latihan dakwah Kudat sesi 2012 di Sikuati dekat sini.

Hadirsama sempena majlis itu Pengerusi Majlis Ugama islam Sabah (MUIS), Datuk hSuhaili Said;Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia(JAKIM),Mohd Noor Andul Hamid;Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Cawangan Sabah, Haji Ahmad Zaki Arsad dan Pengetua Pusat Latihan Dakwah Kudat, Abdul Roni Haji Tahir.

Sempena majlis itu Dato Sri Nasir menyampaikan sijil tamat latihan kepada 95 orang pelatih wanita; 90 orang pelatih lelaki dan empat anugerah kepada empat orang pelajar iaitu Anugerah Menteri Jabatan Ketua Menteri Sabah; Anugerah Ketua Pengarah JAKIM; Anugerah Pengarah JAKIM dan Anugerah Pengetua PLDK.


Nasir yang juga Menteri bertanggungjawab mengenai hal ehwal agama Islam di Sabah,berkata dalam usaha memartabatkan dakwah Islam di negeri ini, peranan Pusat Latihan Dakwah (PLD) kini  menjadi semakin mencabar, apatah lagi wujudnya kepesatan teknologi yang sering menjadi alat yang mudah mengelirukan pemahaman masyarakat Islam mengenai isu-isu agama.

Justeru itu katanya, bagi merancakkan aktiviti dakwah dan bagi memastikan lebih ramai anak-anak Sabah berpeluang  menikmati pendidikan Islam yang baik, projek menaik taraf sistem pembelajaran perlu diusahakan bagi memastikan para pelatih mendapat sumber yang pantas, betul dan tepat dalam pembelajaran mereka.


Nasir berkata, Pusat Latihan Dakwah Kudat (PLDK) yang telah beroperasi selama 28 tahun telah berjaya melahirkan ramai graduan dalam bidang Asas Pengajian Islam dan berdasarkan rekod statistik, jumlah pelatih dari tahun 1999 hingga 2010 sahaja adalah seramai 1,897 orang.

Jumlah ini akan meningkat tahun demi tahun. Justeru, dapatlah dipastikan bahawa saban tahun semakin ramai anak-anak Islam Sabah dapat mengikuti dan menerima didikan dalam bidang Pengajian Islam secara sempurna dan formal.

“Kita percaya bahawa perubahan ketara dapat dilihat dalam diri individu pelatih dari sudut keilmuan dan penghayatan Islam yang semakin baik berbanding sebelum mengikuti kursus Asas Pengajian Islam di Pusat Latihan Dakwah ini,” katanya.

Beliau menambah,Ini adalah kerana para pelatih bukan sahaja diberi didikan untuk memantapkan kefahaman dan penghayatan Islam mereka secara individu, bahkan turut dilatih bergerak sebagai pendakwah secara aktif dan efisien ke dalam masyarakat selepas bergelar graduan Pusat Latihan Dakwah.

Nasir menegaskan, demi kepentingan menyebarkan dakwah Islam ini maka peranan penting yang telah dimainkan oleh Pusat Latihan Dakwah selama 28 tahun ini akan terus relevan.

Justeru, Pusat ini perlu diperkasakan dengan tenaga kerja yang komited dan efisien mencontohi jejak para penggerak yang selama ini telah berusaha dengan bersungguh-sungguh tanpa mengenal erti jemu untuk terus memantapkan institusi ini.

"Saya percaya perkara ini telah diambil perhatian dan berada dalam perancangan memantapkan lagi institusi dakwah di negeri ini."

Katanya lagi, kelebihan menjalankan usaha dakwah ini berpihak kepada para graduan kerana faktor setempat yang memungkinkan anda memahami dan mengetahui selok-belok budaya dan adat setempat. 

Menyedari senario inilah, Jakim melalui Pusat Latihan Dakwah Kudat berusaha untuk melahirkan kader-kader dakwah yang beriman, berilmu dan beramal serta berketrampilan agar mampu menjadi pembimbing dan tempat rujukan masyarakat berdasarkan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.





Nasir berkata, Jakim juga telah mengambil pendekatan seumpamanya dengan memberi tumpuan dan fokus utama menyediakan generasi pewaris dari kalangan anak watan Sabah dalam melaksanakan misi dan tugas dakwah.

"Saya yakin dan percaya bahawa anak tempatan berupaya menjadi generasi pendakwah yang berkesan berdasarkan kefahaman dan kearifan anak watan sendiri terhadap segenap aspek budaya setempat.

“Adalah menjadi harapan kita semua, semoga para pelatih yang menamatkan pengajian peringkat asas dan diraikan dalam konvokesyen hari ini dapat menterjemahkan ilmu yang diperolehi ke dalam masyarakat yang sedang menanti kepulangan anda semua,”kata Nasir.

Katanya, para pelatih yang ingin menyambung pengajian lanjutan, para pelatih boleh mengikuti peluang sedia ada seperti di Pusat Latihan Dakwah Keningau atau nama barunya iaitu Institut Pengajian Islam Dan Dakwah (IPDAS) yang kini melaksanakan program diploma.

Program ini katanya dilaksanakan agar lebih ramai pelajar di Sabah berpeluang melanjutkan pengajian agama Islam ke peringkat yang lebih tinggi di samping peluang-peluang baru dan lebih baik yang akan diwujudkan dari semasa ke semasa sama ada secara sendiri oleh Jakim atau melalui kerjasama dengan agensi-agensi lain.

No comments:

Post a Comment