Thursday 15 November 2012

POLIS BANTERAS SINDIKET JUDI SIBER





Oleh : RUZAINI ZULKIFLI

KOTA KINABALU: Usaha mengesan dalang yang dipercayai terlibat dengan sindiket judi siber di Sabah akan terus dipertingkatkan. Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib, berkata satu pasukan khas di bawah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) sememangnya telah ditubuhkan sejak dulu bagi memantau kegiatan terbabit dan setakat ini, pihaknya masih menjalankan siasatan komprehensif untuk mengesan dalang utama yang terlibat.

Menurutnya, berikutan saranan daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, baru-baru ini mengenai perkara itu, polis kontinjen Sabah sememangnya sedang menangani kegiatan itu secara serius seperti mana yang ditekankan.

“Kita tidak menafikan memang ada rakyat Sabah yang terlibat dengan kegiatan ini begitu juga di Sarawak dan sehubungan itu, polis akan terus melakukan pemantauan berterusan.

“Polis Sabah telah menubuhkan pasukan khas sejak dari dulu lagi untuk memantau dan membanteras kegiatan ini dari masa ke semasa dan sebagai contoh, kita telah melakukan dua tangkapan berkenaan judi terbabit di ibu negeri pada malam semalam.

“Ini secara jelas memperlihatkan polis Sabah menerusi pasukan khas terus melakukan pelbagai usaha bagi menangani masalah berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bersempena Kursus Asas Polis Bantuan Siri 3/2012 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah kelmarin.

Sementara itu, Hishammuddin dalam lawatan kerjanya di Sabah baru-baru ini menyatakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak pernah menutup siasatan bagi mengesan saki-baki ahli sindiket judi siber yang masih beroperasi di Sabah dan Sarawak.

Menurut beliau, tindakan itu dibuat setelah mengadakan perbincangan dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan arahan itu dimaklumkan kepada pesuruhjaya polis di dua negeri terlibat. (UB)

No comments:

Post a Comment