Tuesday 13 November 2012

POLIS TUMPAS SINDIKET WARGA AFRIKA





KUALA LUMPUR : Beberapa syarikat asing dilaporkan mengalami kerugian RM1.86 juta setelah terpedaya dengan urusniaga yang dikendalikan sekumpulan lelaki Afrika yang menyamar dengan menggunakan nama sebuah syarikat pengeluar sarung tangan getah pembedahan tempatan terkemuka.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata syarikat itu termasuk dari Australia, India, Greece dan Libya yang menerima kerugian setelah tidak menerima barangan selepas membuat bayaran.

Beliau berkata siasatan awal polis mendapati sindiket itu yang beroperasi di Nilai, Negeri Sembilan menggunakan nama syarikat itu tetapi mengubah alamat dan nombor telefonnya.

"Kita terima 15 aduan daripada syarikat pengeluar sarung tangan itu setelah menyedari suspek menggunakan identitinya," katanya pada sidang media di sini Isnin.

Beliau berkata hasil aduan syarikat itu, polis menyerbu sebuah rumah di Nilai Sabtu lepas dan menahan lima lelaki berusia antara 27 dan 31 tahun. (Bernama)

No comments:

Post a Comment