Tuesday 27 November 2012

PUTERI SEMAKIN MATANG TEPIS PERSEPSI





Oleh : HASLINDA ZAINAL DAN SITI FATIMAH AHMAD

KUALA LUMPUR : Persis gadis sunti yang melangkah ke alam dewasa, Pergerakan Puteri Umno yang kian menghampiri usia 12 tahun, sayap bongsu Umno ini sudah semakin matang menghadapi ranjau dan cabaran dunia politik semasa negara.

Sebagaimana pergerakan politik lain, Puteri Umno, yang tidak terlepas daripada pelbagai kontroversi dan kritikan dari dalam dan luar parti, terus komited untuk memenuhi keperluan golongan wanita muda yang meminati dunia politik untuk menyumbang khidmat bakti kepada agama, bangsa dan negara.

Senada dengan kepimpinan ketuanya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin mahu supaya Puteri Umno lebih menyerlah dalam perjuangannya kepada agama, bangsa dan negara meskipun ia dalam skala kecil tanpa publisiti tetapi memberi impak kepada golongan sasar.

"Kalau budak sekolah, sudah hendak masuk ke sekolah menengah, Puteri Umno sekarang tidak boleh disamakan dengan Puteri pada 12 tahun lepas, kami sudah melalui pelbagai keadaan di mana tuntutan terhadap tanggungjawab dan peranan diperluas kepada aspek yang melibatkan parti yang semakin matang, terbuka dan optimis untuk ke hadapan bersuara dan memberi pandangan," katanya kepada Bernama.

Berpakaian merah jambu sedondon dengan tudungnya, warna rasmi Puteri Umno, dengan wajah tidak lekang daripada senyuman, Rosnah mesra menyapa penulis yang menunggu di bilik lounge bangunan Parlimen sambil memohon maaf kerana lewat berikutan tugasan rasmi yang mesti dilaksanakan terlebih dahulu.

Ternyata, Rosnah seorang yang begitu mesra manakala ciri kepimpinannya juga terserlah setelah memegang tampuk kepimpinan sayap Umno sejak 2009. Di awal penubuhan Puteri Umno pada 3 Ogos 2001 di bawah teraju Datuk Seri Azalina Othman Said, sayap parti itu digeruni kawan dan lawan dengan kelantangan ketuanya bersuara.

Kepimpinan Puteri berganti apabila Datuk Noraini Ahmad mengambil alih jawatan Azalina pada 2004 dan empat tahun selepas itu, Rosnah menerajui Puteri apabila memenangi pemilihan sayap bagi sesi 2008-2011, menggantikan Noraini yang telah melebihi had umur.

Dalam proses kematangannya, Puteri tidak dapat lari daripada menghadapi cabaran terutama apabila beberapa pihak melabel pergerakan itu seakan tidak relevan dan tidak berfungsi dalam membantu perjuangan Umno.

"Mungkin orang tidak faham, kami melalui proses politik yang berbeza. Sekarang sudah berbeza, kami tidak pentingkan persepsi yang dilontar, kami ambil ia sebagai cabaran. Apa yang penting ialah banyak mana manfaat yang kami sudah berikan kepada rakyat," kata Rosnah tenang dan penuh optimis.

Untuk terus kekal relevan dan mendapat tempat di dalam parti dan masyarakat, Puteri Umno merangka pelbagai program berbentuk kebajikan dan sosial untuk berada lebih dekat dengan masyarakat terutamanya golongan muda.

Rosnah berkata kebanyakan program yang dijalankan Puteri Umno terus ditumpukan kepada golongan sasar dan bersifat skala kecil menyebabkan publisiti kurang diberi.

Walaupun tiada liputan, Rosnah kekal positif kerana ia tidak bermakna Puteri Umno hanya duduk diam menyolek wajah tetapi berusaha gigih menerusi pelbagai program untuk mendekati rakyat di samping mengambil data mengenai sikap pengundi di kawasan masing-masing.

Program Puteri Prihatin (3P) merupakan program tetap pergerakan itu untuk menawarkan khidmat kesihatan percuma kepada masyarakat, rawatan percuma di klinik dan hospital serta rawatan ibu baharu bersalin dan penjagaan bayi.

Sejak 3P dilancar pada Julai tahun lepas sehingga kini, hampir 20,000 program dilaksana di peringkat bahagian manakala 800 program di peringkat negeri.

Selain itu, program 'Life is Precious' (Hargai Kehidupan) dan B2R (Banteras Ragut dan Rogol), 'Barber on Wheel' (khidmat gunting rambut percuma kepada pelajar sekolah) dan 'Back To School' (sumbangan peralatan sekolah) juga dilaksanakan di peringkat nasional.

Mengenai keanggotaan Puteri, Rosnah berkata sehingga bulan lepas terdapat 394,316 anggota puteri yang berusia antara 18 hingga 35 tahun. Daripada jumlah itu, 331,592 telah mendaftar sebagai pemilih.

Sabah merupakan negeri tertinggi bilangan keanggotaan dengan 56,300 anggota manakala peringkat bahagian yang tertinggi ialah Kemaman dengan 6,359 ahli dan cawangan Dataran Merdeka mencatat bilangan tertinggi iaitu 2,065 orang.

Setiap kali menerima anggota baharu, pemimpin Puteri Umno di peringkat akar umbi akan memberi penjelasan mengenai perjuangan parti terhadap bangsa, agama dan negara serta pentingnya peranan pergerakan dalam menangkis tanggapan negatif masyarakat terhadap golongan muda.

Mengenai Perhimpunan Agung Umno 2012 yang akan bermula esok dengan perasmian perhimpunan tiga sayap menjadi pembuka tirai, Rosnah berkata pergerakan itu akan fokus terhadap persediaan dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13 selain memastikan golongan muda terus menyokong kerajaan.

Sambil mengakui bahawa pilihan raya umum ke-13 bakal menjadi pilihan raya paling sengit dalam sejarah Malaysia, beliau menegaskan Puteri Umno perlu menumpukan kepada kekuatan parti selain memastikan bahawa keperluan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

Mengenai perancangannya pada pemilihan parti pada tahun hadapan, Rosnah, 40, yang juga Anggota Parlimen Papar berkata beliau belum memikirkannya kerana apa yang menjadi fokus utamanya kini adalah persediaan parti menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Bagi Rosnah, sama ada ada berjawatan atau tidak, beliau akan kekal bersama parti dan berjuang habis-habisan untuk memastikan perjuangan Umno dalam membela rakyat diteruskan.

"Empat belas tahun lepas saya bukan anggota Umno, tetapi sekarang saya tahu hanya Umno dan Barisan Nasional (BN) benar-benar ikhlas berjuang untuk agama, bangsa dan negara. Saya bangga menjadi anggota Umno dan akan terus setia bersama parti," katanya.

Beliau mengingatkan anggota Puteri Umno supaya mempergiat usaha memperkasa jentera parti untuk memastikan kemenangan Umno dalam pilihan raya umum kerana kehilangan kuasa adalah sesuatu yang tidak boleh dikompromi.

"Perjuangan parti harus berpaksikan kepada perjuangan untuk parti dan bukan untuk diri sendiri, sama ada bertanding atau tidak ia tidak harus difikirkan. Apa yang penting adalah komitmen dan tahap kesiapsiagaan. Jangan hanya bercakap di mulut, apa yang dikata kita kotakan. Kita perlu bersedia pada tahap luar biasa," katanya.

Merah jambu yang menjadi simbol warna lembut dan feminisme seharusnya terus memberi inspirasi kepada Rosnah dan barisan kepimpinannya untuk terus bekerja keras memastikan bahawa warna itu tidak luntur dan kekal menjadi warna menawan yang anggun dan terus relevan serta menyerlah di dalam perjuangan parti. (Bernama)

No comments:

Post a Comment