Thursday 22 November 2012

RCI HANYA DI SABAH, BUKAN SEMENANJUNG





Oleh :  MOHD FARHAN DARWIS

KUALA LUMPUR : Putrajaya tidak bercadang untuk meluaskan skop siasatan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) berkenaan projek pemberian kad pengenalan kepada warga asing selain daripada negeri Sabah.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk V.K Liew berkata skop siasatan itu kekal dan tidak akan diluaskan ke Semenanjung kerana masalah pemberian kad pengenalan kepada warga asing ini tidak wujud di negeri-negeri di kawasan tersebut.

“Kerajaan tidak bercadang untuk meluaskan skop siasatan RCI mengenai dakwaan pemberian warganegara kepada pendatang asing di Sabah kepada negeri di Semenanjung kerana tidak wujud masalah memberi taraf kewarganegeraan kepada warga asing di Semenanjung.

“Kerajaan sememangnya sentiasa komited dalam mematuhi hak rakyat dan kedaulatan Malaysia dilindungi selaras dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya menjawab soalan Ahli Parlimen Kuala Krai, dari PAS, Dr Mohd Hatta Ramli yang mahu Perdana Manteri Datuk Seri Najib Razak menyatakan sama ada kerajaan bersedia meluaskan skop siasatan RCI mengenai pemberian warganegara kepada pendatang asing di Sabah kepada negeri di Semenanjung.

Hatta bagaimanapun turut mempersoalkan tiada sebarang perkembangan mengenai keberkesanan RCI tersebut walaupun telah lebih lima bulan ia ditubuhkan, sejak Jun lalu.

Beliau turut mendakwa, perkara itu turut wujud di negeri lain apabila terdapat beberapa insiden permohonan untuk mendapatkan taraf warganegara amat mudah dan segera diberikan.

“Mereka itu berada tak cukup lama untuk dianugerahkan kad pengenalan. Ada yang (kerja) tukang sapu pun boleh dapat warganegara.

“Betapa mudahnya jadi warganegara (Malaysia) ... kita ada masalah yang sama di negeri lain di Semenanjung,” katanya.

Liew bagaimanapun menolak dakwaan berkenaan, sebaliknya menegaskan, tugas RCI sudah bermula namun masih diperingkat prosedur mesyuarat untuk menentukan individu yang akan dipanggil sebagai saksi dalam inkuiri termasuk pemberian keterangan melalui afidavit.

“Apa-apa yang diwar-warkan oleh Yang Berhormat sekiranya ada bukti ada yang memohon melalui prosedur yang tak sah melalui undang-undang saya harap YB buat laporan kepada pihak yang berkenaan,” katanya.

Liew turut mengakui, masalah berkenaan telah wujud di Sabah sejak empat dekad lalu, dan turut mengharapkan agar ianya dapat diselesaikan dengan memberi peluang dan sedikit masa kepada RCI untuk menjalankan tugas mereka.

No comments:

Post a Comment