Sunday 4 November 2012

RCI PERLU JADIKAN KINABATANGAN ASAS KAJIAN





ZALIM....Menaruh harapan kepada Wakil Rakyat menyelesaikan masalah tanah adat, kata Haji Ahdah, umpama menyerahkan harta kepada pencuri.

Oleh : SHAIMON S JUMADI

PANEL RCI yang ditubuhkan Kerajaan Malaysia sewajarnya menghalakan siasatan ke Sukau, Kinabatangan kerana majoriti PATI yang mendapat kerakyatan songsang diberi suaka politik oleh Kerajaan Barisan Nasional sehingga mereka telah  berjaya melakukan 'Reverse Take Over' kerana jumlah mereka kini mengatasi rakyat tempatan.

Mantan Ketua Daerah Kinabatangan, Haji Ahdah Sulaiman berkata demikian dalam satu wawancara khas dengan Sabahkini.net kerana bimbang dengan peningkatan mendadak rakyat asing; apatah lagi setelah Jabatan Perangkaan mengesahkan bilangan penduduk asal hanya 31,000 orang, manakala PATI termasuk warganegara songsang sudah mencapai 172,000 orang.

"Inilah yang membimbangkan kami sekarang. Salah satu malapetaka yang kami tidak dapat elak ialah PATI yang dipelihara kerajaan BN ini sudah mempunyai Mykad kerana mereka boleh 'merampas' apa sahaja hak kami termasuk undi dan tanah," kata Haji Ahdah yang mendakwa PATI ini mendapat suaka politik UMNO dan diberi pelbagai keistimewaan oleh Wakil Rakyat Sukau.

Menurut Haji Ahdah, para pemimpin kerajaan yang ada di kawasan Sukau dan Kinabatangan tidak boleh menuding jari kepada pembangkang jika membangkitkan isu yang boleh meledak edranalin rakyat kerana ternyata BN gagal melindungi kepentingan rakyat Sabah sejak 49 tahun lalu.


Dalam pada itu, kata Haji Ahdah, majoriti para pengundi tegar di DUN Sukau mahukan perubahan besar, bukan sahaja dari aspek pembangunan infrastruktur bahkan ekonomi iaitu menaiktaraf kehidupan rakyat agar lebih terjamin, namun gagal dilakukan oleh Wakil Rakyat yang ada sekarang.

"Memang tidak dinafikan, pembangunan infrastrutur telah mula dinikmati penduduk tetapi majoriti hanya menjadi pemerhati pembangunan dan tidak mendapat manfaat daripada curahan ratusan juta ringgit wang pembayar cukai ke Sukau," kata Haji Ahdah lagi.

Menurutnya, penduduk asal Sukau terus merintih kerana kuasa ekonomi mereka dirampas dengan kejam oleh Kerajaan Barisan Nasional yang bersekongkol dengan konglomerat Bursa Saham Malaysia yang memperdaya dan merampas tanah rakyat melalui jalan licik; malah sering menyalah guna kuasa polis bagi menindas kebangkitan rakyat.

Kezaliman Kerajaan BN kata Haji Ahdah tidak boleh ditabiri dengan pemberian BR1M, tangki 1Malaysia dan pelbagai bantuan segera kerana majoriti penerima adalah Warganegara Songsang sehingga menyebabkan Sabah terus menjadi negeri termisikin setelah rakyat asal masih terpenjara di teras putaran ganas kemiskinan; terutama setelah tanah yang telah mereka tanam diradu dengan jentolak dan dirampas dengan kejam.

"Kita amat sedih kerana Wakil Rakyat BN telah lumpuh dan tidak lagi mampu membela rakyat. Nasib orang kampung semakin malang dan terus ditimpa musibah bertubi-tubi. Jika mereka lapor polis, mereka akan disumbat ke lokap dan didera tanpa peri kemanusiaan kerana dianggap penceroboh kepada tanah adat milik mereka sendiri," kata Haji Ahdah yang kesal kerana polis boleh disewa untuk melindungi penjenayah tanah adat.

1 comment:

  1. masalah ini akan berlanjutan sekiranya rakyat sabah masih memilih BN sebagai peneraju kepimpinan..

    ReplyDelete