Saturday 17 November 2012

RCI TIDAK MUNGKIN ATASI POLEMIK SABAH





TANDATANGAN…..Hj Ahdah sedang menyaksikan Azmin Ali menandatangani Banner sebagai simbolik perasmian majlis perjumpaan tersebut.

Oleh: SHAIMON S JUMADI

TINDAKAN Kerajaan Barisan Nasional (BN) menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) hanya  sekadar gimik politik untuk menyedapkan hati rakyat sahaja kerana bukan mudah untuk menyelesaikan ibu kepada segala masalah di Sabah sudah berlarutan hampir tiga dekad ini.

Di Sabah PATI yang sudah mendapat kerakyatan songsang sejak 1975 lagi semasa era Kerajaan USNO, BERJAYA banyak mengeluarkan kad-kad pengenalan biru kepada warganegara asing daripada Filipina, Indonesia, Pakistan dan India bukan lagi menjadi rahsia; apatah lagi kerajaan telah menangkap seramai 15 pegawai Pendaftaran dan 25 orang awam di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri pada 1995; tetapi tidak melupuskan kad pengenalan projek yang telah dikeluarkan melalui Ops Gembleng.

Ketua Penyelaras  Parti Pakatan Rakyat (PR) kawasan Kinabatangan, Hj Ahdah Hj  Sulaiman berkata demikian semasa berucap  di hadapan lebih 500 penyokong PKR pada Majlis Reformasi Kebangkitan Rakyat Kinabatangan,  kelmarin.

“Mengikut statistik Jabatan Perangkaan, penduduk asal Kinabatangan hanya 31,000 orang, sementara warga asing (PATI) yang mendapat keistimewaan Mykad telah mencecah 172,000 orang yang tinggal di Kinabatangan dan majoritinya berdaftar sebagai penyokong tegar BN setelah mendapat suaka politik melalui kerakyatan songsang,” ujarnya.

Hj Ahdah berkata, kebanjiran PATI ke negeri Sabah yang sudah menjadi pengundi tegar BN/UMNO telah mencecah 1.3 juta orang; 70 peratus daripada Indonesia (Sulawesi);  20 peratus daripada dan Filipina 10 peratus daripada Pakistan dan India. Mereka ini merupakan 'Fixed Deposit' yang dibanggakan BN dan menjadi faktor BN mengekalkan 59 kerusi DUN dan 24 Kerusi parlimen di Sabah.

Dalam hubungan  ini, Hj Ahdah menjelaskan pihaknya tidak mempertikaikan warga asing yang datang ke Sabah  sebelum 1963 kerana berlandaskan perlembagaan dan memohon kewarganegaraan melalui saluran yang sah.

Namun yang menjadi persoalan sekarang ialah PATI yang datang selepas 16 September 1963 sehingga sekarang yang belum fasih berbahasa Melayu sudah diberi kewarganegaraan Malaysia sehingga ramai yang sudah menjadi Ketua Cawangan, Ketua Bahagian UMNO dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri.

Sekarang ini, kata Hj Ahdah, isu yang menjadi kemarahan dan rungutan rakyat Sabah terhadap UMNO/BN ialah mengenai isu tanah adat (NCR) yang tidak  pernah selesai sejak dari 1985 sehingga  sekarang; bukan sahaja di Kinabatangan, malah di seluruh Sabah setelah Anak Negeri Tulen Sabah menjadi mangsa rampasan tanah  oleh warga Malaya dan PATI yang mendapat kerakyatan songsang yang direstui Kerajaan Negeri Sabah.

Hji Ahdah turut melahirkan rasa kesal kerana Pengarah Tanah dan Ukur, Datuk Haji Osman Jamal telah mengeluarkan kenyataan media bahawa isu tanah adat (NCR) tidak lagi wujud selepas 1930 dan istilah tanah adat hanyalah terminologi rekaan Pegawai Daerah dan Wakil Rakyat terdahulu.

"Oleh itu, kita tidak hairan kenapa isu ini tidak ada titik temu atau penyelesaian; terutama bagi anak negeri yang sudah mendiami tanah mereka sejak di zaman nenek moyang mereka, sehingga sudah melalui empat  generasi (100 tahun); kerajaan Sabah tetap enggan mengeluarkan geran persendirian, melainkan geran komunal atau tanah simpanan kerajaan,” jelas Hj Ahdah.

Tanpa geran hak milik dan kerajaan tidak mengiktiraf NCR, maka konglomerat daripada Malaya terutama syarikat Bursa Kuala Lumpur begitu mudah merampas tanah dan mendapat hak milik yang telah dipohon oleh anak negeri Sabah sejak berdekad lamanya.

"Yang  paling menyedihkan dan menyayat hati,  syarikat konglomerat menyalahguna kuasa polis untuk mengusir anak negeri Sabah daripada tanah mereka seperti anjing dan semua harta benda mereka dirampas, dibakar dan dimusnahkan," kata Hj Ahdah menahan sebak mengimbau kekejaman Kerajaan BN terhadap anak negeri Sabah.

“Semasa kekejaman tersebut berlaku, tiada seorang Wakil Rakyat atau pemimpin BN yang datang untuk membela nasib malang anak negeri Sabah yang diugut di hujung senjata polis yang disewa untuk menghalalkan kezaliman," kata Hj Ahdah yang mengakui bahawa ada ADUN yang terlibat memalsukan Surat Kuasa dan Sijil Mati Palsu sehingga anak negeri Sabah hilang hak ke atas tanah adat mereka.

Sekejam-kejamnya regim Israil, kata Hj Ahdah, mereka tidak membunuh kaum mereka, tetapi 'sebaik-baik' kerajaan BN/UMNO yang mengumandangkan slogan rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan; yang kini berikrar 'Janji Ditepati' menganggap nyawa anak negeri Sabah sudah tidak berharga lagi.

Sehubungan itu, Hj Ahdah mengajak rakyat Kibatangan agar  sedar dan harus buka mata kerana kurang 10 tahun dari sekarang rakyat asal Kinabatangan bakal menjadi pelarian di tanah air sendiri kerana mereka sudah tidak punya apa-apa lagi setelah  tanah sekangkang kera sekarang telah dirampas oleh pihak tertentu yang berkepentingan.

Turut  hadir pada  Majlis tersebut ialah Ketua Wanita PRK Pusat yang juga ADR Ampang Hajah Zuraidah; Timbalan Presiden PKR yang juga MP Gombak, Mohd Azmin Ali dan Pengerusi Perhubungan Negeri PKR ,Mohd Tamrin Hj Jaini.

No comments:

Post a Comment