Wednesday 21 November 2012

REMAJA PALESTIN PROTES BERSENDIRIAN





                                      
KUALA LUMPUR : Mahmoud Al Sammouni, yang berusia 15 tahun, berdiri di depan Kedutaan Amerika Syarikat, sekutu Tel Aviv, dan menggesa Israel menghentikan keganasan tenteranya di Gaza yang dilaporkan meragut nyawa 100 penduduk di wilayah yang terkepung itu.

Di bawah pengawasan mata pengawal keselamatan kedutaan itu, Mahmoud menjadi tumpuan apabila wartawan, jurugambar dan jurukamera berasak-asak untuk mendekatinya di luar bangunan yang terletak di Jalan Tun Razak yang sibuk di pusat bandar Kuala Lumpur.

Mahmoud, seorang daripada 11 saksi rakyat Palestin pada prosiding Suruhanjaya Jenayah Perang Kuala Lumpur berkaitan Palestin yang sedang berlangsung, membawa sepanduk berbunyi, 'Kenapa anda biarkan perkara yang sama berlaku lagi di Gaza?'

Bercakap menerusi seorang jurubahasa, beliau berkata "Saya ingin menggesa tentera Israel berhenti menindas penduduk Gaza terutama kanak-kanak.

"Saya berharap orang akan mendengar suara saya dan Malaysia boleh membantu menghentikan keganasan tentera Israel."

Mahmoud telah memberi keterangan bapanya ditembak walaupun mengangkat tangan sebagai tanda menyerah diri semasa serangan Israel. Turut terbunuh adik lelakinya yang berusia empat tahun.

"Saya telah kehilangan ramai anggota keluarga di tangan Israel namun saya akan berjuang sehingga kami mencapai kemenangan, dan saya berdoa Tuhan akan membantu kita," kata remaja itu yang menyelempangkan sehelai skaf Palestin di bahunya.

Beliau diiringi wakil Yayasan Keamanan Global Perdana (PGPF).

Terdahulu, Presiden PGPF Tun Dr Mahathir Mohamad ketika melancarkan Tabung Kecemasan Gaza, menggesa rakyat Malaysia terus memberi bantuan dalam pelbagai bentuk kepada penduduk Gaza yang sedang ditindas Israel. (Bernama)

No comments:

Post a Comment