Wednesday 7 November 2012

SABAH KINI SEBUAH NEGERI MAJU





KOTA KINABALU : Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman, berkata Sabah kini berkembang sebagai sebuah negeri yang maju, makmur, aman dan stabil menerusi pendekatan yang dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bukan hanya bertanggungjawab dan berupaya melaksanakan tugas tetapi juga memberikan tumpuan serius kepada kepentingan rakyat dan negara ini.

“Ini membolehkan Sabah berada di landasan terbaik untuk membangun dengan mampan,” katanya ketika berucap pada majlis Mengangkat Sumpah Ahli Jawatankuasa Pusat, Penyelia, Pemuda dan Wanita Gabungan Persatuan Cina Sabah, di Magellan Sutera Resort, di sini, baru-baru ini.

Musa berkata, pertumbuhan ekonomi di negeri ini sejak kebelakangan ini kekal teguh selain memiliki simpanan yang kukuh.

“Ini jelas menunjukkan komitmen kita untuk menggalakkan pertumbuhan modal insan seiring dengan pertumbuhan ekonomi dan infrastruktur untuk faedah rakyat,” katanya.

Mengenai iklim ekonomi di negeri ini beliau berkata, pelbagai inisiatif yang diungguli kerajaan persekutuan kini sedang dilaksanakan termasuk Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang dijangka akan membawa Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Katanya lagi, program ETP ini adalah sejajar dengan apa yang dirancang menerusi Koridor Pembangunan Sabah (SDC).

“Kita menjangka lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan akan diwujudkan menerusi pelbagai inisiatif yang kini giat dijalankan,” katanya.

Musa berkata, kerajaan negeri menyedari keperluan mewujudkan iklim yang kondusif untuk mengembangkan perniagaan yang pasti akan meningkatkan pelaburan, seterusnya memberi faedah sampingan kepada rakyat di negeri ini.

“Hubungan baik antara Sabah dan kerajaan persekutun menyaksikan peruntukan berbilion diberikan kepada negeri ini bagi membiayai pelbagai projek termasuk infrastruktur yang menyokong pembangunan ekonomi,” katanya.

Bagaimanapun katanya, negeri ini tidak boleh secara berterusan bergantung kepada sumber asli untuk meningkatkan pendapatan dalam ekonomi global. “Kita perlu meningkatkan nilai tambah sumber termasuk sumber manusia”.

Sehubungan itu Musa berkata, kerajaan akan terus memberi tumpuan terhadap pembangunan pendidikan dengan mewujudkan Hub Pendidikan di Sandakan.

Mengenai pembangunan pendidikan kaum Cina beliau berkata kerajaan negeri sentiasa menyokong pelbagai program dan aktiviti yang dianjurkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini termasuk Gabungan Persatuan Cina Sabah.

“Ia termasuk aktiviti kemasyarakatan, kebudayaan, sukan, agama dan pendidikan. Ini kerana kita percaya bahawa dengan adanya penglibatan aktif NGO dalam masyarakat dan wujudnya hubungan kerjasama yang erat antara kerajaan dan NGO, sudah tentu ia membawa banyak manfaat bukan sahaja kepada ahli NGO bahkan kepada rakyat pada keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan terus memberi sokongan terhadap keperluan sekolah-sekolah Cina termasuk memberikan bantuan kewangan.

“Bagi memastikan ini terlaksana, perlu ada kestabilan politik dan sokongan daripada semua masyarakat agar negeri ini dapat ditadbir dengan baik tanpa gangguan politicking yang terlalu banyak.

“Kestabilan politik adalah faktor penting untuk menarik pelaburan dan membolehkan perniagaan berkembang pesat,” katanya.

Musa berharap masyarakat Cina di Sabah akan terus memberi sokongan kepada kerajaan BN supaya “kita secara bersama dapat membantu mewujudkan sebuah negara yang stabil, progresif dan makmur pada masa hadapan”.

Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan dana RM100,000 untuk organisasi itu.

Turut hadir adalah Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr. Yee Moh Chai dan Datuk Dr. T. C. Goh, Pemangku Presiden, Gabungan Persatuan Cina Sabah.

No comments:

Post a Comment