Monday 19 November 2012

SARAWAK JANJI BELANJAWAN TERBAIK





Oleh : AGNES TUGONG

KUCHING: Kerajaan negeri menggambarkan Rang Undang-undang Belanjawan 2013 yang akan dibentangkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) mulai hari ini adalah yang terbaik kepada rakyat.

Menteri Perumahan merangkap Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata belanjawan ini akan memberi fokus kepada soal pembangunan iaitu 70 peratus daripadanya (belanjawan) yang akan memberi keselesaan kepada rakyat.

“Dua rang undang-undang akan dibentangkan pada mesyuarat DUN kali ini yang berlangsung mulai esok (hari ini) hingga 28 November ini.

“Pertama Rang Undang-undang Belanjawan 2013 yang memberi gambaran terbaik dengan peruntukan besar untuk sektor pembangunan dan Rang Undang-undang Civil List, iaitu kita akan memberi peruntukan untuk menyelenggara tempat kediaman Tuan Yang Terutama (TYT),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas mesyuarat pra-DUN di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Jalan Bako di sini semalam.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan dihadiri oleh barisan menteri-menteri kabinet dan menteri-menteri muda serta wakil-wakil rakyat BN dan parti komponen iaitu PRS, SPDP dan SUPP.

Ditanya lebih lanjut mengenai rang undang-undang belanjawan yang akan dibentangkan kelak, Abang Johari yang enggan mengulas lebih lanjut berkata butir-butir mengenai rang undang-undang ini hanya akan diumumkan pada pembentangan kelak.

Jelasnya, terdapat sedikit tambahan untuk belanjawan kali ini yang mana belanjawan kali ini disifatkan oleh beliau sebagai belanjawan lebihan.

“Secara prinsipnya, belanjawan kali ini adalah baik dan akan memberi keselesaan kepada rakyat secara keseluruhannya,” katanya.

Dalam pada itu sebanyak 335 pertanyaan akan dikemukakan dan tiga usul diterima daripada pembangkang akan dibentangkan pada mesyuarat DUN yang dijadual bermula hari ini.

Menyentuh mengenai me­syuarat Majlis Tertinggi PBB yang berlangsung sebelah petang hari dan tempat yang sama semalam, Abang Johari berkata ia adalah menyentuh kepada persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13). (UB)

No comments:

Post a Comment