Saturday 24 November 2012

SETINGGAN PENGHALANG KEMAJUAN SANDAKAN?





PENGHALANG …..Penduduk Kampung Cahaya Baru penghalang pembinaan terminas bas. V.K Liew sedang berbincang dengan Jurutera MPS melalui telefon mengenai kelewatan pembinaan projek Terminal Bas terbabit.

Oleh: SHAIMON S JUMADI

PEMBINAAN Projek Terminal Bas Sandakan yang terletak di Kampung Cahaya Baru, Batu 3, Jalan Pantai Sandakan masih tergendala sekalipun Kerajaan Negeri sudah menawarkan tender dan kini dalam proses untuk melantik kontraktor bagi melaksanakan kerja-kerja pembinaan tersebut kerana setinggan di kawasan terlibat enggan berpindah, sekalipun Majlis Perbandaran Sandakan sudah beberapa kali mengeluarkan notis.

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong memaklumkan demikian kepada Sabahkini.Net sejurus selepas mendapat maklumat  terperinci daripada Jurutera Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) berhubung kelewatan kerja-kerja pembinaan terminal tersebut.

“Kalau kita, khususnya kerajaan bertindak tegas mengusir penduduk kampung Cahaya Baru pada masa sekarang ini, maka akan dijadikan isu  besar oleh parti-parti pembangkang sebagai senjata propaganda mereka untuk menjatuhkan kerajaan BN," kata V.K.Liew yang tidak menolak kemungkinan punca mereka berpindah kerana didalangi pembangkang.

Kata V.K.Liew, Kerajaan BN serba salah kerana ibarat kata pepatah, "ditelan mati emak, diluah mati bapa" kerana tersepit di tengah-tengah kemelut pembangunan dan kemanusiaan yang sering dipolitikkan.

Menurut V.K.Liew lagi, terdapat beberapa faktor yang perlu diambil kira dan diperhalusi sebelum membuat sebarang tindakan keras bagi mengusir para penduduk berkenaan; termasuk menyediakan penempatan baru termasuk rumah PPR jika terpaksa mengusir penduduk setinggan berkenaan.

"Jika tidak diusir, kerajaan tidak dapat meneruskan pembinaan projek tersebut sedangkan dana sudah mencukupi hanya tinggal melantik kontraktor yang layak untuk diberi projek tersebut. Inilah  yang memeningkan kepala kita sekarang,” tegasnya.

Kata V.K Liew lagi, senario ini jelas menunjukkan mereka anti kemajuan dan menjadi penghalang kerajaan meningkatkan prasarana termasuk Terminal Bas yang boleh melonjak pembangunan pesat ekonomi Sandakan kerana mempunyai sistem pengangkutan yang lebih sempurna.

No comments:

Post a Comment