Thursday 15 November 2012

TIGA MAYAT DIJUMPAI DI PERAIRAN LABUAN





BUNGKUS.....Beberapa anggota APMM sedang membungkus mayat yang ditemui kelmarin untuk dibawa ke Hospital Nukleus Labuan.

Oleh : ADRIAN NANDU

LABUAN: Tiga mayat krew sebuah bot telah ditemui di perairan Labuan kelmarin setelah berlaku kejadian pelanggaran dua buat bot di perairan Muara Kuala Lawas pada 11 November lalu.

Ketua Penguatkuasa Maritim Daerah bagi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Labuan, Kapten Maritim Wan Mat Wan Abdullah, berkata lima krew bot terlibat di dalam kemalangan itu.

“APMM Labuan telah menerima maklumat dari Ibu Pejabat Polis Daerah Lawas pada Isnin lalu iaitu jam 9.30 malam mengenai kejadian itu. Kejadian itu berlaku pada jam 10 malam iaitu pada Ahad lalu. Dalam kemalangan itu, tiga daripada lima krew telah hilang dan dua lagi terselamat,” katanya.

Sehubungan itu, Wan Mat berkata APMM Labuan telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dan semua aset APMM telah diaturgerakkan ke lokasi kejadian diketuai oleh Lt Kdr Maritim Noor Azmi Mohd Dahan.

“Pada jam 9.20 pagi, APMM telah menerima maklumat dari pihak Labuan Port Control (LPC) yang menyatakan, pihak Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) telah menjumpai satu mayat di perairan Pulau Papan.

“Seterusnya pada jam 10.20 pagi, APMM menerima laporan dari LPC mengatakan dua mayat telah dijumpai berdekatan dengan Jeti Petronas Chemicals Methanol Labuan.

“Ketiga-tiga mayat itu telah dibawa ke jeti APMM dengan menggunakan bot ronda dan kemudiannya dihantar ke Hospital Nukleus Labuan dengan bantuan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia Labuan,” katanya.

Beliau juga berkata kes itu diserahkan kepada polis di Lawas untuk membuat siasatan lanjut. (UB)

No comments:

Post a Comment