Sunday 18 November 2012

TUBUH PSC BINCANG ISU HAM





Oleh : MOHD FARHAN DARWIS

KUALA LUMPUR : Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mencadangkan Putrajaya menubuhkan jawatankuasa khas di bawah Parlimen bagi membincangkan mengenai pelbagai isu berkaitan hak asasi manusia.

Nazri menjelaskan, melalui penubuhan jawatankuasa khas berkenaan, ia bakal berupaya untuk memastikan isu hak asasi manusia yang diperjuangkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mendapat pembelaan yang sewajarnya.

“Isu hak asasi manusia adalah sangat penting. Saya tak fikir (cadangan bincang) sehari laporannya (di Parlimen) sahaja... kemudian apa?

“Jadi kita perlu bentuk (jawatankuasa khas) supaya perkara ini tidak dibincang sehari sahaja. Tetapi perlu diteruskan sebagaimana PAC (Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara) bincangkan laporan audit,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran yang mencadangkan agar Parlimen memperuntukkan tempoh khusus bagi membincangkan mengenai laporan yang dibangkitkan Suhakam.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu turut berkata jawatankuasa berkenaan itu akan dianggotai oleh beberapa ahli Parlimen daripada kerajaan dan pembangkang.

“Jawatankuasa tetap ini akan terdiri daripada beberapa ahli Parlimen. Mereka boleh adakan persidangan untuk pastikan perkara-perkara yang dibangkitkan dalam laporan itu boleh diperjuangkan,” katanya.

Nazri turut menjelaskan, kerajaan tidak berupaya untuk mengambil tindakan terhadap anggota Suhakam yang dilihat menyebelahi pembangkang.

“Kerajaan terbuka mengenai perkara tersebut malah sedia menerima kritikan daripada Suhakam.”

Jelas Nazri, berdasarkan Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia mana-mana anggota, pegawai dan pekhidmat Suhakam mendapat pembelaan dan perlindungan daripada kerajaan.

“Seksyen 18 (1) menyatakan tiada tindakan guaman, pendakwaan atau prosiding boleh dimukakan dalam mana-mana mahkmah terhadap suruhanjaya atau mana-mana anggotanya berkenaan dengan apa-apa perbuatan, pengabaian atau keingkaran yang dilakukan olehnya dengan syarat pada masa itu dia menjalankan fungsinya dengan suci hati,” katanya lagi. (TMI)

No comments:

Post a Comment