Tuesday 4 December 2012

17,686 PESAKIT AIDS DI MALAYSIA







TERIMA KASIH….Datin Linda menerima cendera kenangan daripada Dr Zaiton Yahya.

Oleh: SAIMON  S JUMADI

AHLI Parlimen Batu Sapi, Datin Linda Tsen Thau Lin berkata, wabak akibat jangkitan HIV di negara ini sebahagian besarnya dipengaruhi pengguna dadah suntikan yang tidak terkawal.

Begitu pun, ujarnya, terdapat kebimbangan tentang penularan heteroseksual yang sedang meningkat di mana menurut statistik menunjukkan purata 17 orang yang diuji positif virus AIDS setiap hari.

"Faktor dominan yang menyebabkan penyakit AIDS berleluasa ialah kekurangan kesedaran tentang bahaya penyakit itu selain kurangnya mengamalkan amalan gaya hidup sihat," katanya ketika merasmikan Sambutan Hari AIDS Sedunia 2012 peringkat Sandakan di pusat membeli-belah terunggul Harbour Mall, di sini, kelmarin.

Hadir sama Presiden Kumpulan Sokongan AIDS Sandakan, Dr.Zaiton Yahaya.

Linda merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih atas sokongan padu serta kerjasama yang diberikan Dr.Zaiton dengan barisan jawatankuasa bagi menjayakan program murni itu.

Seperti mana yang diketahui umum bahawa tanggal 1 Disember merupakan Hari AIDS Sedunia dan beliau sangat berbesar hati kerana telah dijemput untuk menyempurnakan kempen kesedaran mengenai AIDS.

"Tahukah anda bahawa Malaysia ialah tempat terdapatnya epidemik AIDS yang kelima paling pesat merebak di rantau Asia Timur dan Pasifik, dengan kadar semasa jangkitan HIV berganda setiap tahun.

"Justeru, program-program melibatkan kempen seperti ini amat penting dalam usaha memberi kesedaran apa itu penyakit AIDS supaya semua orang tahu dan dapat mengetahui lebih mendalam tentang penyakit berbahaya ini," jelasnya.

Menurut beliau, peranan ibu bapa amat penting untuk memberi pendidikan kepada anak-anak kerana ilmu dan pengetahuan merupakan bentang utama kepada seseorang daripada melakukan akviti-aktiviti yang berisiko terutamanya boleh membawa kepada jangkitan HIV.

Katanya, setiap individu mesti beriltizam untuk memastikan dirinya tidak dijangkiti HIV melalui gaya hidup yang sihat.

Tambahnya, negara kini komited dalam usaha mengurangkan kadar jangkitan dan menjelang 2015 akan dapat mengurangkan jangkitan baru kepada 11 orang bagi setiap 100,000 penduduk.

Dalam konteks ini, beliau turut menegaskan penglibatan pelbagai agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan bagi memerangi HIV / AIDS perlulah diteruskan.

"Saya amat menyokong penuh usaha murni ini dan sentiasa sedia membantu untuk menjayakan apa jua usaha membantu gejala penyakit merbahaya itu," ujarnya.

Terdahulu, Dr.Zaiton sewaktu berucap memberitahu bahawa untuk lima tahun akan datang iaitu bermula 2011 hingga 2015, World Health Organization (WHO) telah menetapkan Hari AIDS Sedunia akan bertema yang sama iaitu 'Zero AIDS Related Death, Zero Discrimination dan Zero New Infection.'

Di Malaysia, katanya, kes pertama dikesan 25 tahun yang lepas iaitu pada 1986 dan sehingga Disember tahun 2011 terdapat seramai 94,000 kes yang telah dilaporkan dan sejumlah 17,686 pesakit AIDS; manakala 14,986 kematian telah dilaporkan.

"HIV dan AIDS adalah penyakit yang digeruni orang kerana stigma dan diskrimanasi yang menyusuli jangkitan. Ramai pesakit AIDS takut tampil untuk membuat pemeriksaan kesihatan kerana takut dicaci orang.

"Saya yakin masyarakat mampu berubah untuk menjana keluarga yang bahagia. Keluarga yang bahagia pula memastikan anggota keluarga bebas dari segala sosial. Masa bersama keluarga adalah penting. Dan peranan keluarga serta pegangan agama menjadi tunjang kepada seseorang untuk menjauhi diri dari dadah, alkohol dan terlibat dengan seks rambang.

"Di dalam menangani penularan AIDS di kalangan wanita, kerajaan menggalakkan saringan bakal pengantin baik yang beragama Islam mahupun yang bukan beragama Islam. Saringan ini dibuat secara percuma di klinik-klinik kesihatan.

"Setiap ibu yang mengandung digalakkan berklinik awal dan saringan HIV juga dilakukan kerana pengesanan awal HIV di kalangan ibu dapat mengelak ibu menjangkiti HIV kepada kandungannya. Rawatan retroviral akan diberikan seawal tiga bulan mengandung," beritahu Dr.Zaiton.

Pelbagai acara menarik memeriahkan sambutan kali ini antaranya pameran 'Autoshow'; persembahan tarian kebudayaan dan tarian moden di samping persembahan Cosplay iaitu memperagakan pakaian animasi kartun.

No comments:

Post a Comment