Wednesday 12 December 2012

185 MATI AKIBAT AIDS DI SABAH






Oleh :  MOHD NAZIB MACPEE

LAHAD DATU: Seramai 1,347 orang dijangkiti HIV dan 453 orang mengidap AIDS di Sabah sejak 1991 sehingga 2011,dan daripada jumlah itu sebanyak 185 kematian telah direkodkan.

Ahli Parlimen Silam, Dr Haji Salleh Kalbi berkata punca jangkitan di Sabah kebanyakannya disebabkan hubungan seks berbilang pasangan dengan 1,235 orang atau 91.7 peratus kes melibatkan HIV, manakala melalui jarum suntikan melibatkan 32 orang atau 2.4 peratus.

Katanya, pada tahun 2011, antara daerah yang merekodkan kes tinggi HIV dan AIDS adalah Kota Kinabalu iaitu 59 kes HIV dan 30 kes AIDS, bagi Daerah Tawau 27 kes HIV dan 15 kes AIDS, manakala Sandakan merekodkan 18 kes HIV, 7 kes AIDS dan diikuti Daerah Lahad Datu yang hanya merekodkan satu kes HIV dan satu kes pengidap AIDS, dan tiada kematian direkodkan.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan sambutan Hari AIDS Sedunia Peringkat Negeri Sabah yang berlangsung di Dataran Palma Lahad Datu, di sini, kelmarin.

Pada majlis itu, Salleh berkata untuk mengatasi masalah itu, kerajaan sentiasa melakukan yang terbaik dalam memastikan rakyat hidup dalam keadaan yang selesa, selaras dengan janji kerajaan “Rakyat diutamakan”.

Katanya, ini terbukti apabila Kementerian Kesihatan sentiasa komited dalam membanteras penularan jangkitan HIV, AIDS dan juga memastikan sifar kematian berkaitan AIDS dapat dicapai.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Dr Christina Rundi berkata tema sambutan Hari AIDS Sedunia bagi tempoh lima tahun bermula 2011 hingga 2015 ialah Menuju Sifar.

Justeru, katanya, pelbagai aktiviti telah dirancang untuk mencapai matlamat berkenaan, termasuklah mengadakan program roadshow AIDS, seminar HIV/AIDS dalam kalangan ahli panel penasihat klinik, jabatan persekutuan dan negeri serta kakitangan KKM, program OPS Prihatin, ceramah kesedaran, hebahan melalui radio, saringan HIV kepada bakal pengantin dan HIV Update. (UB)

No comments:

Post a Comment