Tuesday 4 December 2012

600 PENDUDUK RAYU KES TANAH MONDOLONG



SIPITANG: Kira-kira 600 penduduk di empat buah kampung kawasan Ulu Melamam meminta Kerajaan Negeri mengkaji semula lokasi pelan tanah Komuniti Mondolong kerana ia terletak di kawasan tanah adat penduduk.

Jurucakap penduduk Angai Arau berkata, kawasan yang dicadang untuk diwartakan untuk Geran Komunal itu tidak masuk akal kerana ia dinamakan Tanah Komuniti Mondolong tetapi ia terletak di kawasan Ulu Melamam yang membabitkan Kg. Marau, Kg. Damai, Kg. Melagau dan Kg. Kuala Muaya.

Katanya, Kg. Mondolong terletak kira-kira tiga kilometer dari kawasan Ulu Melamam manakala empat kampung tersebut adalah paling hampir dengan kawasan berkenaan.

“Kawasan yang telah diwartakan untuk Geran Komunal itu sebahagiannya telah diterokai oleh penduduk kampung terbabit dengan tanaman getah dan sawit,” kata Angai.

Selain itu katanya, kawasan berkenaan juga adalah warisan tanah adat dari nenek moyang sejak dahulu lagi. “Buktinya masih terdapat tanah perkuburan nenek moyang dan pokok buah-buah yang telah ditanam berpuluh-puluh tahun dahulu di samping tanaman baru yang telah diusahakan oleh penduduk,” jelasnya.

Justeru itu katanya, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Tanah dan Ukur perlu mengkaji semula pewartaan kawasan itu untuk Geran Komunal kerana selain warisan tanah adat ia juga telah dipohon oleh penduduk.

Angai berkata, penduduk empat kampung yang terbabit juga merasa kesal dengan tindakan Jabatan Tanah dan Ukur Daerah yang membatalkan permohonan tanah penduduk dengan alasan tanah yang dipohon terletak dalam kawasan Pelan Komuniti Mondolong.

No comments:

Post a Comment