Saturday 1 December 2012

AMARAN KEPADA PATI, BUKAN WHISTLE BLOWER






KOTA KINABALU : Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Seri Yong Teck Lee berkata, pihak polis sepatutnya memberi amaran kepada orang asing agar tidak menyakiti rakyat tempatan dan bukannya mengancam rakyat Sabah dengan denda besar dan hukuman penjara kerana menyalurkan informasi mengenai kes pembunuhan Norikoh di internet.

Beliau mengulas amaran daripada Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib yang disiarkan akhbar pada hari ini.

Teck Lee berkata, Hamza telah memberi amaran kepada rakyat Sabah agar tidak menyebarkan informasi mengenai pembunuhan gadis tempatan berusia 16 tahun yang mayatnya dibuang dan dijumpai di tepi jalan di Kota Marudu pada Ahad lalu.

Menurut Teck Lee, Hamza juga berkata bahawa tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia boleh dikenakan terhadap mereka yang menyebarkan informasi mengenai kes itu di internet.

Beliau menambah, Hamza turut menyatakan bahawa khabar angin itu boleh menjadi ancaman kepada keselamatan negara.

"Ancaman sebenar terhadap keselamatan negara ialah kehadiran pendatang asing tanpa izin dan jenayah yang dilakukan oleh orang asing seperti sindiket dadah," kata Teck Lee.

Katanya, hanya tindakan tegas dan jitu daripada pihak berkuasa untuk membawa pesalah ke muka pengadilan akan meredakan kemarahan rakyat tempatan yang melihat hak mereka dilenyek, tanah dirampas dan maruah disakiti.

Beliau berkata, rakyat Sabah sudah bosan dengan penafian pegawai kerajaan terhadap jenayah yang dilakukan ke atas rakyat tempatan.

Teck Lee berkata, rakyat Sabah sebenarnya mahu kerajaan melakukan sesuatu yang konkrit mengenai rakyat asing yang berada di Sabah.

Kerajaan persekutuan juga sepatutnya bertanggungjawab kerana tanpa sebarang pemeriksaan ketat membenarkan orang asing yang berniat jahat memasuki negara ini, katanya sambil menambah mereka ini bukannya pelancong atau ahli perniagaan sebenar.

Katanya, kerajaan persekutuan tidak pernah menafikan secara rasmi mengenai pemberian Mykad (kewarganegaraan) kepada orang asing dari Pakistan yang baru memasuki Sabah menggunakan pasport.

Pemuda SAPP di Keningau dan Mudanita SAPP di Kota Marudu baru-baru ini telah membuat laporan polis mengenai kes-kes MyKad yang diberikan kepada orang asing ini, kata Teck Lee.

"Ada diantara mereka ini telah mendapat BR1M sebanyak RM500 tunai. Segala Informasi mengenai perkara ini ada di internet bagaimanapun pihak polis tidak ada sebarang komen. Tetapi bila perkhidmatan internet yang sama menyalurkan informasi mengenai kes Norikoh pihak polis mengancam rakyat Sabah pula," katanya.

Rakyat Sabah adalah penduduk yang paling aman dan harmoni di Malaysia, kata Teck Lee sambil menambah pihak polkis tidak perlu mengancam mereka dengan denda RM50,000 dan hukuman setahun penjara di bawah Akta itu.

No comments:

Post a Comment