Saturday 15 December 2012

ANGIN PERUBAHAN CONDONG KEPADA BN






TAWAU: Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yakin angin perubahan politik di Sabah kini lebih menyebelahi Barisan Nasional (BN) berbanding pilihan raya umum 2008.

Pairin yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata keyakinan itu berasaskan prestasi kepimpinan cemerlang BN sama ada di peringkat negeri dan persekutuan yang kesannya dapat dirasai semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum.

“Kepimpinan BN sekarang ini benar-benar ingin berkhidmat dan berusaha bersungguh-sungguh dengan perancangan begitu teratur dan jelas. Lebih-lebih lagi dengan kepimpinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) yang telah mempunyai pendekatan begitu jelas dan baik.

“Pendekatan (Najib) itu bukan sahaja begitu jelas dan baik tetapi tindakan-tindakannya juga menunjukkan segala perancangan yang terperinci itu dilaksana. Kita semua sedia maklum cara perdana menteri dan anggota kabinet bekerja tidak henti-henti dan menekankan segala usaha untuk mengatasi masalah yang dihadapi masyarakat.

“Semua lapisan masyarakat (menikmati hasilnya), bukan sahaja secara menyeluruh tetapi dengan lebih terperinci,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Pengarah-Pengarah Kastam Diraja Malaysia (KDRM) di sini kelmarin.

Pairin yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman. Turut hadir pada majlis itu Ketua Pengarah KDRM Datuk Seri Khazali Ahmad.

Pairin berkata berasaskan kepada pretasi cemerlang kepimpinan kerajaan BN hari ini, rakyat Sabah perlu memberi peluang kepada kepimpinan sedia ada untuk meneruskan agendanya demi kemakmuran dan masa depan rakyat negeri itu.

Kepimpinan yang baik sekarang ini perlu diteruskan kerana ia memerlukan kesinambungan supaya hasilnya dapat dinikmati oleh masyarakat dan rakyat keseluruhannya, katanya.

No comments:

Post a Comment