Tuesday 11 December 2012

ANGKA KERAKYATAN DIPERBESAR-BESARKAN




           
Oleh :   KOH JUN LIN

             
PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Razak mempersoalkan dakwaan Pakatan Rakyat bahawa terdapat 300,000 masyarakat India yang tidak mempunyai taraf kewarganegaraan kerana tidak memiliki kad pengenalan.

Dalam ucapannya di perhimpunan agung MIC kelmarin, Najib berkata jumlah itu diperbesar-besarkan, namun tidak memberi anggaran sebenar jumlah anggota masyarakat India yang mengalami masalah itu.

Katanya, semakannya menunjukkan seramai 9,000 orang telah mendaftar dan sebanyak 4,500 kes telah diselesaikan dan diberi kad pengenalan.

"Seramai 2,000 lagi sedang diproses," katanya lagi.

Sementara itu, laporan Bernama menyebut Najib mahu masyarakat India kembali menjadi "simpanan tetap" kepada BN bagi menentukan BN mendapat kejayaan besar dalam pilihan raya umum ke-13 nanti.

Beliau berkata ini penting kerana hanya BN merupakan satu-satunya parti yang boleh menjamin masa depan kaum ini menerusi pelbagai program yang sedang dan akan dijalankan termasuk dalam bidang pendidikan dan ekonomi.

Najib berkata kaum India yang terpedaya dengan janji-janji kosong pembangkang pada pilihan raya umum lepas harus kembali menyokong BN kerana terbukti pembangkang telah gagal melaksanakan semua janji mereka termasuk dalam soal Kampung Buah Pala di Pulau Pinang dan isu merobohkan kuil termasuk yang terbaru di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang.

Beliau berkata "simpanan tetap" BN itu berpindah kepada pembangkang pada pilihan raya umum Mac 2008 bukan kerana mereka mahukan pembangkang tetapi kerana ada perasaan di kalangan kaum India yang ingin melihat BN berubah dan lebih peka kepada hasrat dan aspirasi kaum itu, katanya.

"Justeru sejak empat tahun lepas, BN sudah bayar faedah yang tinggi menerusi pelbagai program bagi membantu masyarakat India dan kini ternyata ke mana-mana saya pergi sambutan yang saya terima dari kaum India sangat hebat.

"Ini membuktikan bahawa kaum India sudah bina kembali keyakinan atau nambikei kepada kerajaan dan mereka ada keyakinan bahawa masa depan mereka lebih terbela dengan kita (BN)," kata Perdana Menteri ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung MIC ke-66 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir Presiden MIC Datuk Seri G.Palanivel, bekas presiden MIC yang juga Duta Khas Malaysia (Infrastruktur) ke India dan Asia Selatan, Datuk Seri S Samy Vellu dan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk M.Kayveas dan Yang di-Pertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang turut hadir

Najib berkata sejak pilihan raya umum lepas, banyak kemajuan dan perubahan berunsurkan 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' telah dilakukan kerajaan termasuk hampir segala janji pilihan raya di dalam manifesto ditunaikan.

"Banyak yang telah kita buat dari segi peruntukan untuk sekolah sebanyak RM540 juta, pinjaman Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (Tekun), Amanah Iktiar, perusahaan kecil dan sederhana (SME) dan program bagi pelajar India memasuki politeknik.

Justeru, Najib mengingatkan masyarakat India supaya terus bersama dengan BN yang sememangnya parti yang lebih baik bagi membela masa depan mereka dan menolak pembangkang yang hanya tahu berbohong dan menimbulkan keadaan huru-hara.

Najib juga mengimbau jasa kaum India di negara ini terutama peranan mereka di estet yang menjadikan Malaysia pengeksport terbesar getah asli di dunia satu ketika dahulu di samping peranan kaum itu dalam membina jalan raya serta landasan keretapi di negara ini.

Katanya masyarakat India ketika ini mahukan BN yang lebih segar dan baru berbanding pada pilhan raya umum lepas yang mana kepimpinan kini perlu lebih peka kepada rakyat dan membela nasib mereka.

"Kita akui banyak lagi yang BN perlu buat dan kejayaan yang ada ketika ini belum memadai. Kita mesti setia, jujur dengan BN. Mesti juga yakin dan percaya bahawa BN boleh buat lebih baik lagi. Ini jaminan saya yang kita semua perlu bekerja dengan kuat sebagai satu pasukan.

"Masyarakat India rakan sejati BN dan kita akan pastikan semua rakyat terbela. Ia adalah satu amanah. Jangan tipu rakyat.  Hendak menang besar, kita kena bersatu padu, dan sokong siapa sahaja calon yang dipilih," katanya. (MKINI)

No comments:

Post a Comment