Friday 28 December 2012

BANTERAS AKTIVITI PENYELUDUPAN






TAWAU: Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh menggesa semua pihak, termasuk pihak berkuasa dan anggota masyarakat, agar sama-sama memerangi aktiviti penyeludupan keluar barang-barang kawalan dari negara ini ke negara luar secara habis-habisan.

Katanya, aktiviti itu dilihat turut berlaku di daerah ini, ekoran kedudukannya yang terletak bersempadan dengan negara jiran Indonesia.

“Perkara ini perlu dibanteras habis-habisan. Penyeludupan keluar barang-barang bersubsidi begitu merugikan negara kerana nikmat pemberian subsidi itu tidak dirasai oleh rakyat,” katanya.

Antara barang-barang kawalan yang dimaksudkannya ialah seperti gas LPG, tepung, minyak masak dan sebagainya.

Dakwanya, barang-barang kawalan bersubsidi negara ini juga boleh dilihat dijual di kawasan negara jiran yang bersempadan dengan daerah Tawau.

Ghapur turut menggesa pihak berkuasa agar melipat-gandakan usaha dalam memerangi aktiviti penyeludupan sementara masyarakat pula diminta menyalurkan maklumat tentang aktiviti penyeludupan yang mereka ketahui kepada pihak berkuasa.

“Kita juga meminta golongan peniaga yang bertanggungjawab menjual barang-barang subsidi ini agar tidak bersubahat dengan mana-mana pihak yang mereka ketahui menjalankan penyeludupan barang-barang kawalan kita ke negara jiran,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar menjalankan risikan untuk mengetahui jika terdapat mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti rasuah, yang menyebabkan barang-barang kawalan diseludup ke negara jiran. (UB)

No comments:

Post a Comment