Tuesday 4 December 2012

BELIA JANGAN TERPENGARUH DENGAN BERITA ANGIN






KOTA KINABALU: Belia di Sabah yang menganggur diingatkan supaya tidak terpengaruh sepenuhnya dengan berita mengenai kesusahan yang dihadapi oleh rakan mereka yang merantau bekerja di negeri lain.

Ingatan diberikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Ascot, Abdul Razak Egoh, yang berkata akibat pengaruh tersebut ramai belia negeri ini dengan cepat menolak tawaran peluang pekerjaan di Semenanjung.

Beliau berkata, laporan media sebelum ini menyatakan bahawa belia yang keluar bekerja di negeri lain menempuh pengalaman yang sukar kerana ketiadaan tempat tinggal yang sempurna manakala majikan pula dikatakan memotong gaji mereka.

“Disebabkan oleh satu atau dua kes yang terbabit, belia kita terlepas peluang untuk memperbaiki kehidupan kepada keadaan yang lebih baik.

“Para belia mesti tahu bertanya tentang faedah yang mereka boleh dapat jika menerima sesuatu tawaran pekerjaan. Sebenarnya banyak kekosongan jawatan yang menarik dan berguna di luar Sabah,” kata Abdul Razak kepada pemberita selepas penyampaian sijil kepada peserta kursus 1Azam di sini semalam.

Akademi Ascot adalah pengendali kursus tersebut di bidang asas kemahiran keusahawanan pelancongan dan hospitaliti.

Abdul Razak berkata walaupun Akademi Ascot berusaha mencarikan kerja untuk pelajarnya di Sabah, beliau tidak menafikan bahawa permintaan bagi pekerja mahir di Semenanjung adalah lebih besar.

Katanya, akademi itu memberi lebih perhatian bagi menempatkan pelajarnya di luar negeri ini selain mengambil langkah perlu memastikan suasana pekerjaan dan keadaan tempat tinggal mereka selamat dan memuaskan.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan negeri, Datuk Peter Pang En Yin dalam teks ucapannya berkata belia daripada keluarga yang berpendapatan rendah hendaklah merebut peluang menyertai program 1Azam.

Dalam ucapan yang dibacakan oleh Setiausaha Tetap kementerian itu, Datuk Suzannah Liaw, Pang berkata kerajaan serius menghapuskan kemiskinan dan tidak akan berhenti berusaha memperbaiki taraf ekonomi rakyat.

Di majlis tersebut, seramai 47 daripada 57 peserta program menerima sijil mereka dan komputer riba manakala 10 yang lain menerima sijil dan komputer mereka sebelum ini serta berlepas ke Kuala Lumpur semalam untuk bekerja di sebuah hotel di Putrajaya. (Bernama)


No comments:

Post a Comment