Monday 3 December 2012

BN LEBIH KUAT BERBANDING 2008





GADUH.....Pergaduhan Abdullah dan Tun Dr Mahathir Mohamad juga memecah belahkan parti menyebabkan ramai ahli enggan berkempen atau mengundi gabungan tersebut.

Oleh : JAHABAR SADIQ

SEMASA Barisan Nasional (BN) menghadapi pengundi pada tahun 2008, tunjang Umno patah oleh kerana pergaduhan Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Tun Dr Mahathir Mohamad; sementara sebahagian rakyat Malaysia bosan dengan janji-janji yang tidak ditepati, mengundi pakatan pembangkang DAP, PKR dan PAS.

Keputusan bersejarah buat BN apabila kehilangan lima negeri dan majoriti tradisi dua pertiga di Parlimen. Perak kembali kepada BN setahun selepas itu apabila beberapa ahli dewan undangan negeri Pakatan Rakyat (PR) belot.

Abdullah berhenti setahun kemudian dan Datuk Seri Najib Razak megambil alih parti dalam perpecahan itu dan gabungan BN yang hilang semangat.

Kali ini, ia berbeza kerana perhimpunan agung Umno minggu lalu menunjukkan mereka lebih bersatu di bawah Najib dan memberi tumpuan kepada menyerang musuh-musuh politik berbanding orang bukan Melayu.

Kempen Najib tanpa mengenal lelah membuahkan hasil menyatukan Umno dan kerajaan menarik sokongan dengan program termasuk pemberian wang tunai di bawah skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), di mana pusingan kedua akan bermula bulan hadapan.

Tun Dr Mahathir Mohamad juga sudah kembali ke pangkuan Umno, dan Najib memuji Perdana Menteri paling lama berkhidmat  itu di atas peranan dimainkannya dalam berkempen demi perpaduan dan sokongan dalam menghadapi lawan politik Pakatan Rakyat (PR).

“Dr Mahathir diperlukan kali ini untuk memperkuatkan solidariti dalam Umno. Beliau penting untuk mengelakkan sabotaj daripada ahli-ahli yang tidak dicalonkan. Beliau akan menjadi sumber kekuatan untuk pemimpin-pemimpin tertinggi menyatukan ahli di peringkat akar umbi,” kata Profesor Dr Shamsul Adabi Mamat, penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Beliau merujuk kepada usaha Najib memperkenalkan konsep 'calon boleh menang' dan bimbang orang yang tidak berada dalam senarai itu akan mensabotaj kempen pilihan raya seperti dengan apa yang berlaku pada tahun 2008.

Pergaduhan Abdullah dan Dr Mahathir juga memecahbelahkan parti menyebabkan ramai ahli enggan berkempen atau mengundi gabungan tersebut, menjadikan prestasi BN paling lemah berbanding sebelumnya.

Abdullah dipilih Dr Mahathir untuk menjadi penggantinya sebagai  Perdana Menteri apabila beliau meletakkan jawatan pada tahun 2003.

Abdullah melukakan hati ahli politik yang berkuasa itu apabila membongkar dasar beliau dan enggan mendapatkan nasihat mengenai urusan penting dalam pentadbiran negara.

“Umno dan BN perlukan beliau untuk terus bersatu,” kata Shamsul Adabi, merujuk kepada Dr Mahathir.

Kempen gigih Najib untuk mendapatkan semula sokongan masyarakat Cina dan India juga menyebabkan kurangnya serangan perkauman secara terbuka dari rakan-rakan parti, yang mengalihkan serangan kepada parti pembangkang berhubung dengan perbezaan pendapat dalam isu agama dan sekularisme.

“Adalah sangat memenatkan untuk mendengar semua serangan terhadap PR pihak tetapi ia adalah lebih baik daripada membiarkan mereka menggeluarkan kata-kata kesat terhadap Cina atau India, “kata seorang diplomat Barat kepada The Malaysian Insider dengan syarat namanya tidak disiarkan.

“Itulah titik tambah dalam perhimpunan tahun ini,” katanya, sambil menambah perwakilan Umno tidak terjerat dengan umpan kemungkinan berlakunya pergaduhan kaum 13 Mei yang dibangkitkan oleh Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

“Para perwakilan matang, mereka tahu mereka memerlukan sokongan semua orang untuk mengekalkan kuasa, bukan sahaja daripada orang Melayu,” tambah beliau.

Najib mempunyai masa sehingga akhir April tahun hadapan untuk mengadakan pilihan raya sebelum mandat kerajaannya tamat. Sejumlah 222 kerusi parlimen dan 505 kerusi dewan undangan negeri dari 12 negeri dipertandingkan pada pilihan raya umum ke 13.

Sarawak sudah menjalankan pilihan raya negeri secara berasingan tahun lalu.(TMI)

No comments:

Post a Comment