Sunday 2 December 2012

BREK GAGAL BERFUNGSI, PEMANDU TERSEPIT






TERSEPIT.....Beginilah keadaan treler yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 5, Jalan Kunak-Tawau, yang menyebabkan pemandunya tersepit.

Oleh : MOHD NAZIB MACPEE

KUNAK: Akibat kegagalan brek berfungsi, seorang pemandu treler tersepit selepas kenderaan yang dipandunya merempuh dua kenderaan lain yang berada di hadapannya dalam kejadian di satu selekoh di Kilometer 5, Jalan Kunak-Tawau, baru-baru ini.

Kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang. Pemandu treler dan pemandu dua kenderaan di hadapannya, kesemua mereka berusia lingkungan 30-40an, bagaimanapun tidak mengalami kecederaan serius. Dua daripada mangsa berkenaan dikejarkan ke Hospital Daerah Kunak dengan bantuan orang awam.

Ketua Polis Daerah Kunak, DSP M Radzali Mahmud, ketika dihubungi berkata siasatan awal pihaknya di tempat kejadian mendapati kemalangan berpunca daripada pemandu lori treler yang sedang membawa muatan buah sawit, gagal mengawal lorinya berikutan brek tidak berfungsi dengan baik.

“Dan pada masa sama, pemandu sebuah lori lapan tan yang sarat dengan muatan buah sawit dan berada di bahagian hadapannya telah memperlahankan kenderannya untuk memasuki satu simpang di sebelah kanan.

“Akibat kegagalan brek berfungsi dengan baik, lori treler terbabit kemudian telah merempuh bahagian belakang sebuah kenderaan Exora yang berada di perantaraan kedua-dua lori terbabit.

“Impak daripada rempuhan itu menyebabkan kenderaan Exora terbabas ke bahu kiri jalan, sementara lori treler itu sekali lagi telah merempuh sebuah lori lapan tan yang berada di hadapannya, mengakibatkan kedua-dua lori itu terbabas di laluan sama di bahu kiri jalan,” katanya.

Radzali berkata pemandu treler yang tersepit di bahagian tempat duduknya bagaimanapun berjaya dikeluarkan hasil bantuan pasukan Bomba dan Penyelamat Daerah Kunak yang tiba selepas menerima panggilan berhubung kejadian itu. (UB)

No comments:

Post a Comment