Monday 3 December 2012

BUMBURING BELUM ADA NIAT BERSARA






Oleh : LESAYA LOPOG SORUDIM.

"Saya belum sedia bersara. Banyak perkara perlu diperbetulkan. Perjuangan harus diteruskan." Demikianlah sebahagian kandungan ucapan Ahli Parlimen Malaysia (Bebas-Tuaran) Datuk Seri Panglima Wilfred M. Bumburing sempena hari jadi beliau yang jatuh pada tanggal 2 Disember 2012.

Menurut beliau, sasaran menjelajah semua kawasan KadazandusunMurut (KDM) untuk menyampaikan inti perjuangan Angkatan Perubahan Sabah (APS) berjaya dijalankan selaras dengan jadual yang ditetap bermula dari 29 Julai 2012, titik bersejarah ketika beliau bersama rakan-rakan lain mengambil keputusan keluar dari BN dan menyertai gabungan pakatan pembangkang melalui APS.

"Kebanyakan orang yang sudah mencapai umur yang sama dengan saya hari ini akan mengambil keputusan untuk bersara, namun melihat kepada kemelut yang dihadapi oleh setiap masyarakat orang asal di Sabah maka saya merasa bahawa masa untuk bersara belum tiba lagi," ujar Bumburing.

Beliau seterusnya berikrar untuk meneruskan perjuangan membela nasib rakyat Malaysia di Sabah melalui gagasan pakatan pembangkang dengan matlamat membantu Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran kerajaan Persekutuan.

Antara matlamat utama yang digariskan oleh beliau ialah membentuk satu unit khas dalam APS untuk menyediakan bahan-bahan bukti yang akan dikemukakan kepada RCI nanti dalam usaha menyiasat kehadiran PATI yang jumlahnya diluar jangkaan dan seterusnya menghalang peningkatan jumah PATI di masa akan datang.

Sehubungan dengan ini, perjuangan juga akan ditumpukan kepada memulihkan maruah dan kedaulatan kaum bumiputra di Sabah yang kini terancam akibat kehadiran PATI yang sebilangan besar dipercayai telah memiliki MyKad melalui proses yang mencurigakan.

Beliau juga menjelaskan bahawa isu berkaitan dengan hak asasi orang asal ke atas tanah adat (NCR) juga akan diperkasakan dengan tujuan melindungi hak-hak orang asli ke atas tanah adat yang mereka telah duduki sekian lama.

"Perjuangan kita adalah mewujudkan satu suasana di mana permuafakatan berdasarkan kesaksamaan dan kesetaraan di antara semua kaum dijadikan sebagai satu landasan untuk mentadbir dan memajukan negara ini sehingga semua kaum mendapat faedah yang setara serta menikmati kemakmran yang seimbang" kata Bumburing.

No comments:

Post a Comment