Thursday 6 December 2012

ELAK JADI PEMBANTU RUMAH DI MALAYSIA?






KUALA LUMPUR : Jakarta menasihatkan rakyatnya tidak harus bekerja sebagai pembantu rumah di Malaysia berikutan kes layanan teruk melibatkan warganya yang semakin meningkat.

“Pihak pemerintah Malaysia harus ambil tindakan tegas, atau lebih baik pembantu rumah dari Indonesia tidak bekerja di Malaysia.

“Mereka (Malaysia) mahu pembantu rumah dari Indonesia, tetapi mereka tidak boleh melindungi pembantu rumah dari negara kami,” kata Suryana Sastradiredja, jurucakap kedutaan Indonesia yang dilaporkan AFP.

Sabtu yang lalu, jabatan imigresen menyelamatkan 105 pekerja asing yang dikurung dalam agensi pembantu rumah di Bandar Baru Klang.

95 orang wanita, kebanyakannya warga Indonesia, telah didakwa dipaksa bekerja sebagai pembantu rumah selama enam bulan tanpa gaji.

Mereka mendakwa agensi tersebut melayan mereka begitu teruk dan makanan dicatu untuk mereka.

Jakarta telah meletakkan larangan kepada pembantu rumah dari negaranya pada tahun 2009 ke Malaysia, tetapi larangan tersebut dibatalkan setahun kemudian.

Tetapi pembantu rumah dari Indonesia semakin berkurangan untuk ke Malaysia walaupun pembatalan larangan tersebut, dengan mengatakan kurang dari 100 orang bekerja dengan cara sah.

Sastradiredja juga berkata, Indonesia bimbang ribuan pekerja warganya yang bekerja di Malaysia secara haram kerana dijanjikan bayaran lumayan sedang bekerja dalam keadaan yang berbahaya.

Laporan baru menunjukkan kes terbaru melibatkan warga Indonesia bulan lalu, apabila seorang pekerja restoran mendakwa beliau dirogol oleh tiga orang polis, dan seorang lagi berusia 15 tahun dirogol oleh majikannya.

Bulan lalu, menteri sumber manusia Datuk Dr S Subramaniam memberitahu bahawa Putrajaya terus mempunyai hubungan yang baik dengan Jakarta walaupun insiden itu berlaku.

Beliau kemudian menyalahkan media dan badan bukan kerajaan Indonesia kerana mensensasikan insiden tersebut “dengan begitu emosi”.

Beliau menambah, langkah tegas akan diambil untuk menyampaikan mesej kepada pekerja asing bahawa mereka akan dilindungi melalui sistem perundangan negara.

Pada Ogos, pemerhati memberitahu The Malaysian Insider bahawa tawaran gaji yang lebih tinggi dan ekonomi Indonesia yang semakin meningkat menyebabkan Malaysia menjadi tidak menarik di kalangan pembantu rumah Indonesia.

Pembantu rumah Indonesia di Malaysia mendapat gaji minimum RM650, sementara gaji minimum yang dibenarkan di Singapura ialah S$450 (RM1,126) dan HK$3,740 (RM1,500) di Hong Kong.

Mereka juga mendapat cuti mandatori di Singapura dan Hong Kong dimana cuti mandatori untuk mereka di sini masih lagi diperdebatkan.

No comments:

Post a Comment