Thursday 20 December 2012

FELCRA, EKSPERIMEN SHAFIE YANG GAGAL





ROBOH...Inilah Rumah PPRT yang dibina FELCRA runtuh menyembah bumi.

Oleh : SHAIMON S JUMADI     Foto : SAFFIE S JUMADI

AMARAN Ahli Parlimen Malaysia (Tenom) Datuk Raime Unggi bahawa FELCRA seharusnya menumpukan aktiviti perladangan dan tidak sewajarnya terlibat dalam bidang kejuruteraan dan binaan ternyata benar apabila sebuah lagi rumah PPRT yang dibina FELCA di Kampung Air Sandakan pada 2011 menyembah bumi awal pagi kelmarin.

Projek pembinaan 18 buah rumah PPRT di kampung tersebut di bawah seliaan FELCRA yang  dianggarkan menelan kos RM810,000 atau RM45,000 seunit baru sahaja didiami selama enam bulan oleh mangsa, Rajimah Latif bersama 13 ahli keluarganya tiba-tiba runtuh secara mengejut.

Pengerusi JKKK  Kampung Air, Jafar Mustafah yang ditemui Sabahkini. Net di tempat tragedi kira-kira jam 9.00 pagi kelmarin antara lain menjelaskan  pembinaan rumah-rumah PPRT yang ada di kawasan lingkungan Kampung Air dikhuatiri tidak selamat kerana tidak mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan.

"Disebabkan kedudukan tapak rumah-rumah tersebut dan strukturnya tidak kukuh (tegap); maka telah menyebabkan rumah berkenaan mudah runtuh. Mujurlah  tiada kemalangan jiwa berlaku," kata Jafar yang menyetujui saranan Raime Unggi FELCRA jangan laksanakan projek cuba-cuba di Sabah.

Katanya lagi, ADUN Karamunting yang juga Menteri Belia dan Sukan Negeri Datuk Peter Pang sebelum ini sudahpun mengarahkan FELCRA agar mengarahkan kontraktor yang membina projek PPRT tersebut memantau dan mengenal pasti mengenai kedudukan rumah-rumah tersebut dan segala kecacatan dibaik pulih segera sebelum kejadian yang tidak diingin berlaku.





WAWANCARA...Hj Hamsan sedang ditemubual Sabahkini.Net mengenai tragedi tersebut.






BANTUAN...Jason Tan wakil ADUN Karamunting menghulur sumbangan wang tunai kepada mangsa tragedi, Rajimah untuk meringan beban.

Namun demikian, tambah Jafar, keengganan FELCRA mendengar nasihat dan pandangan ADUN berkenaan telah menyebabkan insiden yang nyaris-nyaris meragut nyawa penduduk berlaku.

Menurut Jafar, semasa kejadian tersebut mangsa sedang tidur nyenyak  dan harta benda mereka habis rosak ditenggelami air masin dan tafsiran kerugian belum dipastikan kerana masih dalam siasatan Jabatan Kebajikan Perkhidmatan Kebajikan Am.

Sementara itu, Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Haji Mohd Hamsan Hj Ag Supain yang turut meninjau tragedi tersebut melahirkan rasa simpati terhadap Rajimah bersama 13 keluarganya yang ditimpa kecelakaan.

Sebagai Pengerusi Badan Dakwah Majlis Perbandaran Sandakan, pihaknya akan memberi sumbangan berupa wang tunai kepada mangsa tersebut untuk meringankan  sedikit beban yang terpaksa ditanggung akibat kecuaian FELCRA.

Katanya lagi, Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am sudahpun dimaklumkan mengenai  tragedi ini dan pihaknya akan memberi bantuan segera  berupa makanan dan peralatan dapur.

“Memandangkan mereka sudah tidak ada  tempat tinggal, maka sementara waktu ini mereka ditempatkan di Balai Raya berhampiran untuk menunggu rumah mereka dibina semula oleh kontraktor.

Turut hadir di tempat tragedi berkenaan ialah Pemimpin Kemajuan Rakyat (UPKR) Karamunting, Jeffry Chong dan Setiausaha Politik kepada Menteri Belia dan Sukan Jason Tan sebagai wakil Peter Pang  yang  kini tidak berada  di Sandakan.

Jason yang simpati terhadap insiden tersebut turut  menghulur derma berupa wang tunai  kepada mangsa berkenaan.

Dalam pada itu, beberapa orang penghuni rumah-rumah PPRT yang yang enggan  namanya disebut mengadu kepada Sabahkini.Net ramai di kalangan mereka tidak puas hati dengan keadaan rumah-rumah PPRT yang dibina di kampung tersebut kerana strukturnya  tidak kukuh; apatah lagi hanya menggunakan  tiang yang berukuran 3 inci X 3 inci sahaja.

No comments:

Post a Comment