Friday 28 December 2012

GOLONGAN ISTIMEWA TERAPI KASIH SAYANG






PENGHARGAAN....Armani menerima cenderamata kenang-kenangan daripada pihak penganjur.

Oleh: SHAIMON S JUMADI


KETUA Pergerakan Wanita UMNO Sabah, Datuk Hajah Armani Mahiruddin berkata, meraikan golongan istimewa adalah satu usaha sangat terpuji kerana ia menepati kehendak Illahi seperti mana terkandung dalam kitab suci al-Quran; yang mengajak ummah agar sentiasa membantu orang yang lemah dan susah.

Katanya, usaha  sebegini  turut ditekankan pihak kerajaan yang mahu semua pihak sentiasa mendampingi golongan berkenaan ke arah melahirkan masyarakat penyayang.

Katanya lagi, tidak salah bagi mereka yang mempunyai kelebihan harta atau apa sahaja yang boleh disumbangkan kerana sesuatu bantuan besar maknanya; sekali gus menggembirakan golongan seumpama ini.

"Kasih sayang adalah fitrah semulajadi. Ia ibarat bunga dan disukai semua orang. Oleh kerana ia fitrah, tiada orang yang tidak suka kepada kasih sayang. Bererti siapa yang datang membawa kasih sayang, tidak ada orang yang akan menolak atau tidak mahu menerimanya.

"Bayangkan, dengan memberikan senyuman sahaja, banyak hati-hati yang seronok. Inikan pula kita datang memberikan bantuan dan sokongan bagi mencukupkan keperluan orang yang memerlukan," katanya.

Armani berucap menyempurnakan perasmian Majlis Makan Malam Amal Pertubuhan Amal Cahaya Kasih di Dewan Serbaguna SM Yu Yuan, di sini, baru-baru ini.

Majlis pada itu bertemakan 'Sayangi Kesayangan Allah dan Rasul'.

Pertubuhan Amal Cahaya Kasih Sabah (PACK) adalah pusat jagaan atau rumah amal yang menaungi anak yatim, fakir miskin, muallaf dan asnaf zakat yang telah ditubuhkan pada awal tahun 2008.

PACK menaungi tiga buah rumah amal yang terletak di Ranau, Sandakan dan Tawau. PACK menempatkan seramai 60 orang anak-anak pelajar di peringkat sekolah rendah dan remaja dengan kakitangan 20 orang yang terdiri daripada yang bekerja secara sukarela terdiri kalangan warder, guru-guru, petugas pentadbiran, tukang masak dan pemandu.

PACK ditubuhkan bukanlah atas matlamat komersil, tetapi merupakan wadah kebajikan yang menjadi milik bersama masyarakat; di mana setiap anggota masyarakat yang terdiri dari pemimpin, golongan profesional, golongan korporat, golongan teknorat, alim ulama dan seluruh anggota masyarakat diajak bersama membantu dalam usaha memastikan objektifnya tercapai.

Majlis makan malam turut dihadiri oleh Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Haji Mohd Hamsan Awang Supain dan Pengerusi Pelaksana Program itu, Syeikh Abdul Haris Paijo.

Dalam pada itu, Armani yang juga Ketua Wanita Umno Bahagian Libaran berharap program amal seumpama ini mendapat kerjasama dari pelbagai pihak kerana ia sangat penting dalam mewujudkan masyarakat penyayang.

Katanya, kerajaan sentiasa komited untuk membantu golongan susah dan memerlukan sejajar dengan matlamatnya mahu menjadikan Malaysia sebuah negara yang aman makmur lagi dirahmati Tuhan Yang Esa.

No comments:

Post a Comment