Tuesday, December 4, 2012

GURU DIPECAT DAPAT BORANG KEAHLIAN UMNO





           
Oleh :     AHMAD FADLI KC

GURU AGAMA sementara dari Labuan yang dipecat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) selepas menghadiri ceramah Pakatan Rakyat, mendakwa menerima borang keahlian Umno selepas ditelefon seorang pemimpin Umno setempat.

Guru tersebut, Qatrun Nada Mohd Latfi juga mendakwa bahawa dalam perbualan telefon tersebut, beliau dinasihatkan bahawa sebagai kakitangan kerajaan beliau hanya boleh bergiat aktif dalam parti Umno.

Beliau mendakwa borang itu dihantar secara serahan tangan pada 11 Oktober, dua hari selepas beliau 'dinasihati' pemimpin Umno berkenaan yang juga seorang senator Dewan Negara.

Beliau bagaimanpun tidak mengisi borang itu dan menerima notis pemecatan pada 24 Oktober dan berkuatkuasa 1 Disember lalu.

Sementara itu, pemimpin Umno yang didakwa oleh Qatrun sebagai Pemangku Ketua Umno Labuan, Senator Datuk Yunus Kurus, ketika dihubungi Malaysiakini, mengesahkan beliau yang menghantar 10 borang keahlian Umno kepada bekas guru berkenaan.

Bagaimanapun, beliau mendakwa, ia dihantar atas permintaan Qatrun sendiri, yang meminta borang tersebut melalui SMS, untuk dirinya sendiri dan rakan-rakannya.

Yunus juga mengakui ada menelefon Qatrun untuk mengesahkan laporan bahawa seorang guru agama sementara JAWI berkempen untuk PAS.


"Saya telefon dia tanya betul ke dia masuk PAS. Dia boleh ketawa-ketawa lagi. Saya cakap itu (masuk mana-mana parti) hak kamu. Dia minta borang saya kasilah," katanya.




SERAH....Qatrun (tengah) memberitahu demikian sebelum menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengenai pemecatannya oleh JAWI.


 Qatrun sewaktu sidang media juga mengaku bahawa beliau, secara berjenaka, meminta borang Umno dari Yunus.

Penyelaras NGO hak asasi manusia Suaram, Syukri Razab yang menemani Qatrun berkata siri kejadian yang berlaku sebelum Qatrun dipecat mengesahkan pemecatan itu bersifat politik.

Menurutnya, sebab pemecatan itu yang dipercayai berkaitan dengan kehadiran Qatrun ke ceramah pembangkang bercanggah dengan hak asasi manusia untuk berpersatuan.

Mengulas perkara itu, Yunus menyatakan bahawa beliau tidak mempunyai kuasa untuk membuang Qatrun dari tugasnya kerana perjawatan beliau terletak di bawah bidang kuasa JAWI.

"Demi Allah, saya tidak pernah suruh JAWI buang atau pecat dia. Perkara ini perlu dirujuk kepada JAWI lah. Bukan saya yang buang. Saya tiada kuasa untuk membuang sesiapa," katanya.

Beliau turut menafikan dakwaan Qatrun bahawa beliau menyatakan hanya pekerja kerajaan dengan keahlian Umno sahaja boleh berpolitik.

"Tidak ada semua (kenyataan) itu. Itu temberang sahaja," kata Yunus.

Beliau turut menggesa Qatrun menghubunginya sendiri jika Qatrun berkata benar dengan dakwaan-dakwaannya tentang pemecatan itu. (MKINI)


No comments:

Post a Comment