Tuesday 11 December 2012

HARGA RUMAH DI PULAU PINANG 40% LEBIH MURAH?





Saudara Pengarang,

MERUJUK kepada rencana Sabahkini.net mengenai lawatan Perdana Menteri  Datuk Seri Najib Tun Razak ke Pulau Pinang baru-baru ini yang menjanjikan  kepada rakyat Pulau Pinang iaitu pembinaan 20,000 unit rumah mampu milik jika BN diberi mandat semula untuk memerintah negeri tersebut.

Berjanji kepada rakyat tidak salah dan adalah amalan baik terutamanya jika janji tersebut dapat di kotakan. Sebenarnya sebagai parti pemerintah, mereka hanya perlu memasukkan sahaja dalam Belanjawan Negara dan rakyat akan memahami dari berjanji itu dan ini bagi setiap lawatan yang dilakukan.

Janji spontan yang dibuat tanpa dihalusi atas dasar politik semata-mata akan mengakibatkan janji yang dibuat akan boleh bertentangan dengan polisi kerajaan yang dirancang sekian lama dan lebih  teratur.

Kerajaan cuba mengurangkan pengantungan rakyat kepada subsidi seperti subsidi minyak petrol, minyak diesel dan gula. Tapi pada masa yang sama menjanjikan rumah mampu milik rakyat yang dijual di bawah paras harga pasaran, kata beliau “jika harga pasaran RM$500,000 kita jual dengan harga RM300,000 sahaja”.

Ini bererti harga rumah mampu milik rakyat 40% lebih murah dari rumah mengikut harga pasaran atau dengan erti kata lain membawa maksud kerajaan akan memberi subsidi rumah mampu milik rakyat sebanyak 40%?

Selain memberi kesan negatif terhadap industri hartanah negara dan pada masa yang sama hasrat kerajaan untuk mengurangkan subsidi terhadap rakyat Malaysia tidak akan tercapai.

Seharusnya kerajaan menumpukan perhatian memberi subsidi terhadap keperluan asas yang digunakan dan diperlukan  oleh golongan berpendapatan rendah seperti beras, gula, minyak masak, pendidikan dan kesihatan. Ini kerana golongan pertengahan dan rendah adalah golongan yang ramai di Malaysia ini.

Subsidi yang akan diberikan di Pulau Pinang yang maju dan kaya ini dijangka akan mencapai hampir RM1 billion dan berkemungkinan lebih lagi bergantung kepada jenis rumah mampu milik yang akan dibina.

Peruntukan subsidi rumah rakyat ini lebih bermakna jika disalurkan kepada negeri-negeri yang miskin di Malaysia ini seperti Sabah dan Sarawak.

Hanya kerana berpolitik dengan tujuan menawan semula Pulau Pinang, hala tuju negara entah ke mana, meruntuhkan industri hartanah negara dan rakyat yang lebih memerlukan diabaikan. Para ahli ekonomi di Kementerian Kewangan seharusnya lebih berhati-hati  dalam menyarankan sebarang janji kepada rakyat.

Salam Hormat,

NOOR HALIM DATUK HAJI ZAINI


No comments:

Post a Comment