Sabahkinitv Production

Loading...

Monday, December 3, 2012

INDONESIA RAYU LONGGAR SYARAT CLC







KOTA KINABALU: Konsulat Indonesia di Sabah merayu kepada kerajaan Malaysia supaya melonggarkan syarat kelulusan mewujudkan Pusat Pembelajaran Komuniti (CLC) di negeri ini. Konsul Jenderal Indonesia di Kota Kinabalu, Soepeno Sahid (gambar) berkata, ini bagi membolehkan semua kanak-kanak warganegara itu yang lahir dan membesar di Sabah mendapat pendidikan sewajarnya.

Beliau berkata, sejak tahun 2003 hingga kini seramai 15,514 murid didaftarkan bersekolah di Sekolah Dasar (sekolah rendah) dan Sekolah Menengah Pertama (sekolah menengah) di 151 buah CLC di Sabah iaitu di Pantai Barat, Pedalaman, Sandakan, Tawau dan Kudat.

“Daripada jumlah keseluruhan CLC, hanya 22 CLC yang diluluskan kerana antara syarat untuk mewujudkan pusat ini ialah mestilah di kawasan perladangan. Bagaimanapun, 30 peratus daripada CLC berada di luar sektor perladangan seperti di Kota Kinabalu. Oleh itu usaha kita untuk mendaftarkannya gagal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Festival Mainan dan Permainan Tradisional Anak Indonesia sempena Hari Ibu Indonesia, di perkarangan Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI), di sini, kelmarin.

Soepeno berkata pembelajaran di CLC menggunakan silibus Indonesia tetapi mulai tahun depan Jabatan Pelajaran Sabah mewajibkan supaya mata pelajaran kewarganegaraan diajar di pusat itu untuk membolehkan mereka memahami kewarganegaaan di negara ini.

“Oleh itu saya berharap kerajaan Malaysia dapat mempertimbangkan kelulusan untuk CLC kerana kita amat bersimpati melihat kanak-kanak Indonesia di luar kawasan perladangan yang tidak mendapat pendidikan asas,” katanya.

Sementara itu berkenaan dengan sukan tradisi masyarakat Indonesia beliau berkata, acara yang julung kalinya diadakan di Sabah itu memberi peluang kepada kanak-kanak warga Indonesia yang lahir dan membesar di Sabah mengetahui dan mempelajari sukan tradisional nenek moyang mereka.

“Kebanyakan mereka lahir dan membesar di sini, oleh itu mereka tidak kenal dan tidak lagi tahu permainan tradisional ibu bapa mereka.

“Sehubungan itu, kami mengadakan acara ini antaranya bertujuan untuk menghidupkan kembali semangat cintakan budaya agar tidak hilang ditelan zaman,” katanya.(NST)

Selain itu beliau juga berharap agar festival dua hari itu dapat merangsang kreativiti dan meningkatkan nilai-nilai murni di kalangan kanak-kanak.

Soepeno berkata, festival itu dijayakan dengan kerjasama KJRI dan Komuniti Hong yang berpangkalan di Bandung Jawa Barat.

“Komuniti Hong adalah satu organisasi yang bergerak untuk mengumpul permainan tradisional di seluruh negara Indonesia,” katanya.

Beliau berkata, dalam era globalisasi banyak perubahan berlaku dalam masyarakat termasuk gaya hidup dan pandangan masyarakat terhadap budaya dan kesenian.

“Modenisasi yang bergerak lambat namun pasti ini telah membuat permainan moden berkembang pesat dengan pelbagai jenis yang bukan sahaja membawa kesan positif tetapi negatif.

“Ini kerana, permainan moden lebih kepada kemenangan berbanding permainan tradisional yang lebih kepada nilai-nilai murni seperti meningkatkan kesetiakawan, rasa empati dan lebih dekat dengan alam sekitar,” katanya.

Bahkan, katanya secara psikologi, permainan tradisional sangat berpengaruh terhadap perkembangan jiwa anak kerana dengan bermain bersama, ia dapat melatih para peserta untuk saling menghargai bahawa setiap orang mempunyai sikap yang berbeza.

“Setiap permainan tradisional, melatih mereka bersikap lebih gigih, jujur, setia kawan dan berdisiplin agar dapat mencapai cita-cita,” katanya.

Soepeno berkata Indonesia merupakan negara berbilang kaum dan mempunyai pelbagai budaya dan seni, oleh itu generasi muda bertanggungjawab menjaga, mempertahan dan melestarikan permainan tradisional agar tidak hilang ditelan zaman. (NST)

No comments:

Post a Comment