Wednesday 12 December 2012

JAMES BAGA KELUAR STAR DAN SOKONG BN






KOTA KINABALU: Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Star Sabah, James Baga (kiri) meletakkan jawatan dari parti itu berkuatkuasa 7 Disember dan akan memberikan sokongan kepada Barisan Nasional (BN).

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, James yang juga Presiden Pertubuhan Hal Ehwal Pelindung Pengguna Sabah (CAPS), berkata surat peletakan jawatan sudah dihantar secara peribadi ke Pejabat Parti Star Sabah di Kepayan dengan salinan kepada pengerusi parti itu, Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

“Saya sudah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti Star. Amat malang sekali berada di dalam parti yang mempunyai pemimpin yang bersikap bongkak dan angkuh dan tidak mempedulikan kehendak pengikut serta ahli bawahannya,” katanya.

Katanya pepatah Cina mengatakan: “Askar yang angkuh akan tetap kalah dalam pertempuran dan inilah yang akan berlaku sebenarnya kepada parti Star di Sabah."

James mendakwa, ramai lagi ahli akan meninggalkan parti itu dalam masa terdekat dan hanya masa sahaja akan menentukan mereka berbuat demikian.

“Dengan peletakan jawatan ini akan membolehkan saya memberikan perhatian kepada badan-badan bukan kerajaan (NGO) khususnya CAPS dan akan dapat memfokuskan lebih banyak usaha dan komitmen bersama-sama pengerusi- pengerusi CAPS, penyelaras dan ahli-ahli CAPS seluruh negeri untuk memastikan hak-hak pengguna negeri ini sentiasa terpelihara dan dilindungi sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata sebagai Presiden CAPS beliau bertanggungjawab untuk menafikan anggapan sesetengah pihak kononnya pertubuhan ini adalah NGO pembangkang yang mana sebenarnya tidak betul dan berasas sama sekali.

“Saya berharap dengan penjelasan dan meninggalkan parti Star akan dapat meredakan keadaan,” katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan Parti Star Sabah khususnya Dr Jeffery yang memberikan kepercayaan kepada beliau selama ini dan mengucapkan semoga beliau dan rakan-rakannya beroleh kejayaan.

Beliau berkata hala tujuh CAPS adalah untuk berganding bahu dengan kerajaan untuk memperkasa pengguna di negeri ini sejajar dengan perlembagaan CAPS yang merupakan pro kerajaan.

“Mengkritik kerajaan tidak bermakna menyokong pembangkang tetapi sebaliknya membantu kerajaan dengan membawa isu-isu kepenggunaan di samping memberi input dan cadangan bagaimana yang terbaik untuk manfaat pengguna di negeri ini,” katanya.

“Kami dalam CAPS amat yakin dengan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman kerana kedua-dua pemimpin ini sentiasa konsisten menentukan hala tuju yang terbaik untuk rakyat negara ini,” tambahnya.

No comments:

Post a Comment