Tuesday 11 December 2012

JENAKA 1MALAYSIA DI SABAH?




BANGKU.......Kenapa perhentian bas di hadapan Dewan sri Libaran ini yang terletak tidak jauh daripada rumah Ketua Menteri Sabah tidak mempunyai bangku?

Saudara Pengarang,

SALAM 1Malaysia. Saya berasal dari Kampung Sungai Kayu, Sandakan mewakili penduduk Kampung Sungai Kayu di kawasan Sibugal Resort; berhadapan jalan dengan Dewan Sri Libaran.

Sepanjang pengamatan saya, semenjak tahun 2005 lagi, jalan di kampung ini sepanjang lebih kurang 1.5 Kilometer amat tidak memuaskan dan tidak selamat kerana tidak diselenggara oleh Jabatan Kerja Raya atau Majlis Perbandaran Sandakan.
Apakah pihak berwajib malas untuk membaiki jalan berkenaan atau sememangnya tiada peruntukan sekalipun untuk menyelenggara jalan dan prasarana lain; mungkin atas tujuan tersirat untuk memalukan Ketua Menteri Sabah?

Mungkinkah Pengerusi JKKK dan Ketua Kampung yang dilantik hanya tahu makan gaji buta kerana tidak pandai kerja tetapi ada hati untuk terus memegang jawatan atau tiada dalam 'Check List Job Specification'?

Amatlah tidak patut kerana selama ini kerosakan jalan berkenaan ditangani oleh individu yang prihatin yang secara sukarela menampal lubang dengan batu kelikir yang diambil dari tepi jalan besar; malah ada kalanya terpaksa mengeluarkan wang saku sendiri untuk membeli simen bagi menampal jalan yang berlubang? Memang amat  tidak wajar.




Bukan sahaja keadaan jalan yang berlubang, malah lampu jalan pun tiada sehingga kawasan berkenaan amat berbahaya pada waktu malam kerana amat gelap, terutama kepada kanak-kanak dan wanita.

Isu kerosakan jalan dan kegelapan malam kerana ketiadaan lampu jalan pernah diajukan kepada Pengerusi JKKK, tetapi tiada tindakan diambil sehingga sekarang, menyebabkan kesabaran kami semakin luntur setelah melepasi hadnya sejak sekian lama.

Oleh yang demikian, kami mengutarakan masalah kami kepada Sabahkini.net agar Pengerusi JKKK bangun dari tidur selama ini kerana cuai menjalankan tugas, sedangkan beliau telah dilantik dan dipersetujui oleh ADUN Sibuga iaitu Datuk Seri Panglima Musa Aman.

Bukannya kami dengki dengan jawatan Pengerusi JKKK, tetapi kami kesal kerana beliau telah mencemarkan nama baik Ketua Menteri Sabah yang tinggal di kawasan berkenaan.





Bangunlah dari lena tidur yang panjang wahai Pengerusi JKKK untuk memajukan kampung kami yang jauh ketinggalan daripada Kg. Batu Putih dan Kg. Tinusa 2.

Untuk makluman, Kampung Sungai kayu merupakan kampung terawal  di Sibugal Kecil tetapi masih mundur. Sebagai contohnya Balairaya dan perhentian bas di hadapan Dewan Sri Libaran (tidak jauh dari kediaman Ketua Menteri) amat menyedihkan.

Jika jalan ke kediaman Ketua Menteri tidak diselenggara, apatah lagi jalan dan jambatan di kampung terpencil di pesisir pantai. Apakah ini jenaka 1Malaysia untuk Ketua Menteri Sabah menjelang PRU-13. Tetapi siapakah pelakon utama yang mensabotaj nama baik Ketua Menteri Sabah?

Akhir sekali, kami berharap agar masalah kami disiarkan Sabahkini.net dan mendapat perhatian pihak berwajib kerana kami berharap sangat dan amat memerlukan prasarana ini segera dinaiktaraf sebelum PRU-13.

Salam Hormat,

BAIDIN BUNGUSU

No comments:

Post a Comment